NEVERS, PERANCIS – Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan meletakkan sasaran memburu podium kedua musim ini pada pusingan keempat Moto4 European Cup yang akan berlangsung di Litar Nevers Magny-Cours, Perancis dari 24 hingga 26 Julai ini.
Pelumba SIC-GRYD Racing itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas meraih podium pertama dalam kariernya di Moto4 European Cup pada pusingan ketiga di Jerez, Sepanyol bulan lalu, sekali gus membuktikan kemampuannya bersaing dengan pelumba muda terbaik Eropah.
Keputusan cemerlang tersebut melonjakkan pelumba berusia 14 tahun kelahiran Terengganu itu ke tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 51 mata, sekali gus terus berada dalam perebutan kelompok lima terbaik dengan baki empat pusingan lagi.
Sepanjang rehat kejuaraan, Qabil menjalani latihan intensif di Barcelona, Sepanyol yang memberi tumpuan kepada kecergasan fizikal, daya tahan serta aspek teknikal sebagai persediaan menghadapi antara litar paling mencabar dalam kalendar perlumbaan.
Litar Magny-Cours yang terkenal dengan selekoh berkelajuan tinggi serta zon membrek yang mencabar dijangka menguji kemampuan semua pelumba, namun Qabil percaya pengalaman yang diraih sepanjang tiga pusingan pertama meningkatkan keyakinan serta pengurusan perlumbaannya.
“Saya sangat teruja untuk berlumba di Magny-Cours. Saya tahu ia bukan tugas mudah kerana semua pelumba semakin kompetitif. Kami dapat lihat dalam pusingan sebelum ini semua pelumba sangat pantas sejak sesi latihan hingga perlumbaan.
“Saya sudah membuat persiapan sebaik mungkin bersama pasukan dan akan memberikan 100 peratus dalam setiap sesi untuk memastikan saya mampu kekal bersaing bersama kelompok hadapan,” katanya.
Pusingan keempat itu turut dilihat mampu menjadi titik perubahan buat Qabil dalam musim sulungnya.
Ketika ini, Qabil hanya dibezakan dua mata dengan pelumba di tangga kelima dari Sepanyol, Ignacio Galán yang mengumpul 53 mata.
Pelumba Itali, Edoardo Savino berada di tempat keempat dengan 56 mata, diikuti Mateo Marulanda dari Colombia (59 mata) di tangga ketiga dan Lorenzo Pritelli dari Itali (61 mata) di kedudukan kedua.
Pendahulu keseluruhan, Álvaro Lucas dari Sepanyol pula selesa menguasai carta dengan 95 mata.
Keputusan cemerlang atau satu lagi penamat podium di Perancis mampu melonjakkan Qabil ke kelompok lima terbaik sebelum saingan diteruskan di Valencia, MotorLand Aragón dan Misano. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
