KUALA LUMPUR – Pencalonan tiga terbaik kategori Jurulatih Terbaik Liga M Awards 2025-26 menjadi satu lagi pengiktirafan bermakna buat ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak terhadap perjalanannya sepanjang membimbing kelab itu sejak penghujung musim 2023.
Selepas menjulang trofi berkenaan buat kali pertama pada edisi lalu, Aidil sekali lagi berada dalam senarai calon terbaik, namun mengakui persaingan kali ini cukup sengit apabila turut dicabar pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz dan ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon.
Bagi pengendali dari Singapura itu, Munoz dan Pan Gon memiliki kelebihan tersendiri untuk merebut trofi anugerah berprestij ini melihat kepada aura mereka membimbing kelab masing-masing menjadikan perebutan anugerah ini sukar diramal dengan pasukan JDT hadir satu-satunya pasukan Liga Malaysia meraih ‘quadruple’ buat empat musim berturut-turut dan Selangor FC yang juga bersaing hebat dengan Kuching City musim lalu untuk merebut gelaran naib juara Liga Super.
“Pada saya, saban tahun setiap kali saya di Malaysia, saya akan berada di kelompok tiga terbaik selain musim 2022 dan 2023 ketika saya di Indonesia dan saya amat bersyukur apabila tiap kali tercalon.
“Dan akhirnya pada edisi lalu saya dapat meraih trofi ini buat kali pertama, jadi untuk musim 2025-26 saya tidak mahu terlalu berharap sebab saya akui saingan cukup kuat daripada Munoz dan Pan Gon yang juga tidak kurang hebatnya bersama Selangor FC.
“Secara peribadi, dua figura ini cukup kuat untuk dinobatkan sebagai pemenang dan saya tetap bersyukur apabila dicalonkan lagi untuk edisi ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aidil kini memberi fokus terhadap persiapan Kuching City menjelang musim baharu apabila skuad The Cats sedang menjalani kem latihan pramusim di Chiang Mai, Thailand.
Selain meningkatkan tahap kecergasan pemain, kem berkenaan turut menjadi medan penting buat Aidil untuk membentuk keserasian antara sembilan pemain baharu dengan tonggak lama sebelum mereka berdepan perlawanan pembukaan tumpuan Piala Sultan Haji Ahmad Shah melawan JDT, 21 Ogos ini.
“Sekarang kami di Chiang Mai, Thailand untuk pra musim dan kita akan berdepan perlawanan persahabatan yang agak sukar sebab akan lawan dengan kelab Chiangrai United FC yang bersaing di Liga Thailand 1.
“Tapi apa pun, pra musim di sini cukup penting untuk saya lihat keserasian antara sembilan pemain baharu dan pemain lama untuk mereka betul-betul memahami corak permainan di sini.
“Dalam masa sama, kita akan tengok balik dekat mana kelemahan yang boleh diperbaiki sebelum aksi penting Perlawanan Sumbangsih lawan JDT nanti,” katanya.
Terdahulu, daripada senarai awal 10 calon, hanya tiga nama bagi setiap kategori dipilih hasil undian daripada 13 ketua jurulatih, 13 ketua pasukan Liga Malaysia 2025-26 serta 13 wakil media sekali gus menjadikan pencalonan kali ini sebagai pengiktirafan terhadap prestasi paling konsisten sepanjang musim.
Liga M Awards 2025-2026 anjuran Malaysian Football League (MFL) ini akan diadakan di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur, pada 12 Ogos 2026 (Rabu) bermula jam 8.30 malam hingga 10.00 malam dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Sukan+ dan RTMKlik.
Penganjuran kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya MFL menjalinkan kerjasama bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku Penyiar Rasmi manakala Usaha Jana Sdn. Bhd. tampil sebagai Rakan Strategik Acara Rasmi dan Penganjur Bersama bagi memastikan malam anugerah berprestij ini dianjurkan mengikut standard bertaraf tinggi. – DETIK MALAYSIA
