BANGKOK – Bahang Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai Dunia ISTAF Ke-39 2026 semakin dirasai apabila Presiden Persatuan Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit mengalu-alukan kehadiran semua delegasi, pengurus pasukan, pegawai teknikal dan pengadil pada Mesyuarat Pengurus Pasukan, semalam.
Dalam ucapannya, Thana merakamkan penghargaan kepada semua negara yang mengambil bahagian kerana memilih Thailand sebagai lokasi pertemuan atlet-atlet sepak takraw terbaik dunia.
Beliau turut mendoakan kejayaan setiap pasukan sepanjang kejohanan selain menggesa semua peserta bersaing dengan penuh semangat, saling menghormati dan menjunjung tinggi nilai kesukanan.
Menurutnya, Thailand bukan sahaja komited menganjurkan kejohanan bertaraf dunia, malah mahu memastikan setiap delegasi yang hadir ke Bangkok menikmati pengalaman yang bermakna sepanjang berada di negara itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan, pegawai dan pihak penganjur atas kerjasama berterusan. Semoga semua menikmati pengalaman yang menyenangkan sepanjang berada di Thailand,” katanya.
Kejohanan yang dianjurkan Persatuan Takraw Thailand di bawah naungan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) itu menghimpunkan 19 negara dengan penyertaan kira-kira 700 atlet dan pegawai.
Pertandingan berlangsung selama sembilan hari bermula 4 hingga 11 Ogos ini dan terus diiktiraf sebagai antara kejohanan paling berprestij dalam kalendar sepak takraw antarabangsa.
Aksi kali ini dijangka sekali lagi menyajikan persaingan sengit, kemahiran akrobatik mengagumkan serta perebutan kejuaraan melibatkan pasukan-pasukan terbaik dunia yang memburu gelaran berprestij di Bangkok. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Asian Sepaktakraw Federation – ASTAF
