KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius isu berkaitan majlis makan malam anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini yang didakwa ditaja pihak swasta serta menyediakan minuman keras ketika majlis rasmi kerajaan berlangsung.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, perkara itu bukan isu kecil atau persepsi semata-mata, sebaliknya melibatkan aspek tatakelola, ketelusan penajaan dan pematuhan terhadap pekeliling serta etika kerajaan.
“Dalam pentadbiran awam, sebarang bentuk tajaan mesti melalui proses kelulusan dan penilaian yang telus. Isu ini bukan soal siapa penaja, tetapi soal tadbir urus yang betul,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, tiga prinsip asas perlu dipatuhi iaitu tajaan perlu diluluskan secara rasmi oleh kementerian, nilai dan bentuk sumbangan mesti didedahkan untuk tujuan audit, dan penaja tidak boleh mempunyai kepentingan langsung dengan agensi atau individu terlibat.
Beliau berkata, tanpa garis panduan jelas, tajaan yang kononnya inisiatif baik boleh menimbulkan konflik kepentingan atau pengaruh tidak wajar (undue influence) terhadap dasar serta keputusan kerajaan.
MCW turut menzahirkan kebimbangan berhubung laporan penyediaan minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan yang jelas bercanggah dengan arahan Kabinet dan pekeliling sedia ada.
“Larangan penyediaan arak dalam majlis rasmi kerajaan telah lama dikuatkuasakan, termasuk dalam program antarabangsa yang dianjurkan Malaysia. Ini soal menghormati sensitiviti serta nilai budaya negara,” katanya.
Justeru,katanya, jika benar minuman keras disediakan walaupun ditaja pihak luar, perkara itu tetap melanggar prinsip tatakelola dan etika perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, MCW menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Tourism Malaysia tampil memberi penjelasan kepada rakyat mengenai dua perkara penting identiti penaja dan bentuk sumbangan yang diberikan, serta dakwaan penyediaan minuman keras dalam majlis berkenaan.
MCW turut mencadangkan supaya audit dalaman dilaksanakan segera bagi memastikan pematuhan terhadap pekeliling dan garis panduan kerajaan, bagi mengelak salah tanggapan serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran awam.
“Isu integriti tidak boleh diamalkan secara terpilih. Ia bukan sekadar mengelak rasuah besar, tetapi memastikan setiap tindakan kerajaan bebas daripada pengaruh tidak wajar dan selaras dengan etika perkhidmatan awam,” tegas Jais.
Katanya lagi, kemajuan ekonomi serta imej pelancongan negara tidak boleh dibina atas pelanggaran prinsip asas tadbir urus, sebaliknya nilai integriti mesti menjadi teras dalam setiap keputusan kerajaan, termasuk program tajaan.
MCW menyeru semua kementerian dan agensi kerajaan menilai semula dasar penerimaan tajaan daripada pihak swasta, selain memperketat prosedur kelulusan dan garis panduan pelaksanaannya.
“Integriti bukan sekadar slogan ia adalah disiplin dan tanggungjawab bersama,” ujarnya. - DETIK MALAYSIA