Tabung Haji. Gambar hiasan
Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden MAPIM
KUALA LUMPUR – Pendedahan di Parlimen berdasarkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) amat mengejutkan dan tidak wajar dilihat sebagai kelemahan pentadbiran biasa.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, mempersoalkan bagaimana seorang pegawai kanan boleh memegang jawatan pengarah dalam 18 atau 23 anak syarikat pada masa sama.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada individu terbabit benar-benar mempunyai masa, keupayaan dan kebebasan untuk meneliti operasi, kewangan, pelaburan serta risiko setiap syarikat secara bertanggungjawab.
“Jika seorang pengarah perlu meneliti laporan kewangan, menghadiri mesyuarat, memahami risiko korporat, mengawasi pengurusan dan bertanggungjawab terhadap setiap keputusan, pemegangan terlalu banyak jawatan jelas menimbulkan persoalan serius.
“Ini bukan soal seseorang itu hebat atau ‘superhuman’. Ini soal sama ada struktur tersebut munasabah, berkesan dan selamat untuk sebuah institusi yang menguruskan simpanan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila pertindihan jawatan turut disertai elaun mesyuarat, imbuhan dan manfaat lain.
Katanya, apabila kuasa membuat keputusan, pengawasan dan ganjaran kewangan tertumpu dalam lingkungan individu sama, sistem semak dan imbang berisiko menjadi lumpuh.
“Seorang pengarah tidak boleh menjadi pengawas kepada keputusan yang turut dibuat, dipengaruhi atau diluluskan olehnya sendiri.
“Konflik kepentingan bukan hanya berlaku apabila penyelewengan telah dibuktikan. Ia juga wujud apabila struktur tadbir urus membolehkan kepentingan peribadi, imbuhan dan kuasa mempengaruhi pertimbangan profesional,” katanya.
Mohd Azmi berkata, Tabung Haji bukan sebuah entiti perniagaan biasa kerana institusi itu memegang wang pendeposit yang dikumpulkan sedikit demi sedikit bagi menunaikan ibadah haji.
“Setiap ringgit membawa amanah, pengorbanan dan harapan umat Islam. Sebarang kecuaian dalam menguruskan dana ini mempunyai implikasi kewangan, agama dan moral yang sangat besar,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil beberapa tindakan bagi memperkukuh tadbir urus Tabung Haji.
Antaranya, mendedahkan secara lengkap jumlah jawatan, elaun, honorarium dan manfaat yang diterima setiap ahli lembaga serta pegawai kanan daripada semua anak syarikat dalam tempoh yang disiasat.
MAPIM turut menggesa had tegas ditetapkan terhadap jumlah jawatan pengarah anak syarikat yang boleh dipegang seseorang pada satu-satu masa.
Selain itu, audit forensik perlu dilaksanakan terhadap keputusan pelaburan, transaksi pihak berkaitan serta kemungkinan berlaku konflik kepentingan.
“Setiap pelantikan perlu dinilai sama ada dibuat berdasarkan keperluan profesional atau sekadar peluasan kuasa dan pengumpulan imbuhan,” katanya.
Beliau berkata, pemulangan imbuhan juga perlu dituntut sekiranya terdapat pembayaran yang tidak wajar, tidak diluluskan secara sah atau diterima tanpa pelaksanaan tanggungjawab yang munasabah.
Pada masa sama, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan pecah amanah, salah guna kuasa, kecuaian serius atau pelanggaran tanggungjawab fidusiari.
MAPIM turut menggesa supaya pelan pembaharuan tadbir urus Tabung Haji diterbitkan bagi membolehkan pendeposit dan masyarakat memantau pelaksanaannya.
“Persoalan pokoknya ialah siapa yang sebenarnya mengawasi mereka yang diberi kuasa menjaga wang umat?
“Jika orang yang sama menguasai lembaga induk, pengurusan tertinggi dan puluhan anak syarikat, pengawasan boleh bertukar menjadi pengesahan sesama sendiri,” katanya.
Mohd Azmi berkata, RCI tidak boleh berakhir sebagai dokumen yang dibahas sebelum disimpan begitu sahaja.
Sebaliknya, setiap dapatan perlu disusuli penjelasan, pertanggungjawaban, pemulihan kerugian dan pendakwaan sekiranya terdapat bukti kesalahan.
“Kita tidak menuduh seseorang bersalah tanpa proses undang-undang. Namun, kita juga tidak boleh menggunakan alasan proses untuk menangguhkan tindakan terhadap kelemahan tadbir urus yang telah dikenal pasti secara rasmi,” katanya.
Beliau menegaskan dana haji bukan gelanggang untuk membina empayar jawatan dan mengumpul imbuhan, sebaliknya amanah suci umat Islam.
“Sesiapa yang gagal menjaga amanah tersebut mesti dipertanggungjawabkan tanpa mengira kedudukan, pengaruh politik atau gelaran,” katanya. – DETIK MALAYSIA
