Tabung Haji. Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kerugian besar akibat pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disemak secara bebas bagi memastikan ia bukan berpunca daripada kelemahan pengurusan, kecuaian atau pelanggaran tatakelola.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dana TH adalah amanah jutaan umat Islam yang dikumpulkan melalui simpanan bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Menurut beliau, setiap kerugian besar tidak wajar dianggap sebagai turun naik pasaran biasa tanpa penelitian menyeluruh.
“Kerugian tersebut mesti disemak secara bebas bagi menentukan sama ada ia berpunca daripada perubahan pasaran yang tidak dapat dielakkan, kelemahan penilaian pelaburan, kecuaian pengurusan, konflik kepentingan, campur tangan politik atau keputusan yang tidak mematuhi tatakelola dan mandat risiko TH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, antara persoalan yang perlu dijawab termasuk pihak yang mencadangkan, menilai dan meluluskan pelaburan berkenaan serta sama ada penilaian wajar, analisis risiko dan ujian tekanan dilaksanakan sebelum dana dilaburkan.
Katanya, turut perlu diperjelaskan sama ada keputusan itu selaras dengan mandat pelaburan, had pendedahan dan tahap toleransi risiko TH.
“Adakah amaran daripada pegawai risiko, juruaudit atau penasihat profesional diketepikan dan mengapa pelaburan yang menunjukkan tanda kemerosotan tidak dihentikan atau distruktur semula lebih awal?
“Selain itu, perlu diteliti sama ada berlaku konflik kepentingan, urus niaga pihak berkaitan atau campur tangan luar serta siapa yang menerima imbuhan, bonus dan manfaat ketika pelaburan tersebut mencatatkan kerugian,” katanya.
Beliau berkata, tindakan terhadap pegawai, pengurusan dan ahli lembaga yang bertanggungjawab juga perlu ditentukan berdasarkan hasil siasatan.
Audit forensik
Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata, TH perlu melaksanakan audit forensik terhadap semua pelaburan bermasalah yang mengalami kerugian atau penurunan nilai besar.
Katanya, audit itu perlu meneliti keseluruhan proses bermula daripada cadangan awal, penilaian aset, kelulusan, pemantauan prestasi sehingga keputusan menjual, melupus atau membuat peruntukan kerugian.
“Penemuan utama audit tidak seharusnya disimpan sebagai dokumen dalaman semata-mata, sebaliknya perlu dibentangkan secara telus kepada pendeposit dan pihak berkuasa.
“Jika terdapat bukti kecuaian serius, salah guna kuasa, penipuan atau konflik kepentingan, perkara itu hendaklah dirujuk kepada SPRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, polis atau agensi berkaitan,” katanya.
Menurut beliau, pihak yang menyebabkan kerugian akibat kecuaian atau pelanggaran amanah tidak boleh dilepaskan hanya dengan meletakkan jawatan.
Katanya, tindakan tatatertib, sivil dan jenayah perlu dipertimbangkan berdasarkan bukti serta tahap tanggungjawab masing-masing.
Rombak pengurusan risiko
Dalam pada itu, beliau berkata, TH perlu menyemak semula kerangka pengurusan risikonya dengan memastikan fungsi risiko benar-benar bebas daripada bahagian pelaburan dan pengurusan eksekutif.
Katanya, setiap pelaburan besar juga perlu tertakluk kepada penilaian wajar, semakan bebas dan ujian tekanan, selain had pendedahan ditetapkan mengikut sektor, negara, mata wang, syarikat dan kelas aset.
“Pelaburan berisiko tinggi serta urus niaga pihak berkaitan perlu melalui penelitian lebih ketat, manakala sistem amaran awal dan pelan keluar perlu diwujudkan sebelum sesuatu pelaburan diluluskan.
“Prestasi pula perlu dinilai berdasarkan pulangan jangka panjang yang diselaraskan dengan risiko, bukan keuntungan jangka pendek,” katanya.
Tambahnya, imbuhan dan bonus pengurusan perlu mengambil kira kerugian tertangguh serta prestasi sebenar aset.
Beliau turut menegaskan ahli lembaga dan jawatankuasa pelaburan perlu mempunyai kompetensi, kebebasan dan rekod integriti yang kukuh.
Enam tuntutan MAPIM
Dalam pada itu, MAPIM menuntut enam perkara termasuk semakan bebas dan audit forensik terhadap semua pelaburan TH yang mengalami kerugian besar.
Selain itu, MAPIM mahu senarai pelaburan bermasalah, nilai asal, nilai semasa, kerugian direalisasikan dan pihak yang meluluskan didedahkan mengikut batas undang-undang.
MAPIM turut mahu jawatankuasa khas Parlimen memanggil bekas serta pegawai semasa yang terlibat untuk memberikan penjelasan.
Pertubuhan itu juga menuntut kerangka pengurusan risiko, proses kelulusan dan mekanisme pemantauan pelaburan TH dirombak.
“Semua konflik kepentingan dan urus niaga pihak berkaitan perlu diperiksa secara terbuka.
“Tindakan undang-undang dan pemulihan aset pula perlu dilaksanakan jika ditemukan unsur kecuaian, salah laku atau pelanggaran amanah,” katanya.
Mohd Azmi menegaskan wang pendeposit TH adalah amanah umat dan setiap ringgit yang hilang akibat kecuaian boleh menjejaskan keyakinan pendeposit, kemampuan menunaikan haji serta kewibawaan institusi Islam negara.
“Kerugian tidak boleh disembunyikan di sebalik angka perakaunan. Setiap keputusan mesti dijejaki, setiap kecuaian mesti dipertanggungjawabkan dan setiap kelemahan pengurusan risiko mesti diperbetulkan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
