KOTA KINABALU – Sabah FC meneruskan permulaan sempurna dalam Liga Super Malaysia (Unifi) 2026/27 selepas menewaskan Penang FC 2-0 di Stadium Likas, di sini.
Beraksi dalam keadaan hujan lebat, angin kencang dan permukaan padang yang bertakung air, Sabah tetap mempamerkan aksi berdisiplin untuk merekodkan kemenangan kedua musim ini.
Sang Badak sebelum ini membuka kempen dengan kemenangan 3-1 ke atas Star City FC.
Sabah yang menggunakan gerakan serangan balas pantas beberapa kali mengancam pertahanan Penang, namun gagal memanfaatkan peluang pada peringkat awal permainan.
Bagaimanapun, usaha tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-40 menerusi penyerang, Gonzalo Ignacio Di Renzo yang menyudahkan gerakan serangan pantas untuk memberikan Sabah kelebihan 1-0 sehingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, Sabah terus memberi tekanan dan berjaya menggandakan kelebihan pada minit ke-53.
Pertahanan Sabah, Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim mencipta detik penting apabila hantaran tinggi yang dilakukannya sukar dinilai penjaga gol Penang, Mohd Ramdhan Ab Hamid sebelum bola akhirnya menerjah gawang.
Ketinggalan dua gol menyaksikan Penang meningkatkan tekanan terutama pada 15 minit terakhir permainan dalam usaha mendapatkan gol bagi menghidupkan peluang mereka.
Bagaimanapun, barisan pertahanan Sabah kekal tersusun untuk mengekang asakan Panthers.
Keadaan padang yang licin dan bertakung turut menyukarkan kedua-dua pasukan mengawal bola, dengan beberapa hantaran perlahan atau terganggu apabila melalui kawasan yang dipenuhi air.
Penang hampir merapatkan jurang pada minit ke-88 selepas memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti Sabah.
Namun, penjaga gol Sabah, Juan Flere pantas bertindak menyelamatkan percubaan tersebut sekali gus memastikan gawangnya kekal tidak dibolosi.
Sabah turut memperoleh sepakan percuma pada masa kecederaan, namun gagal menambah jaringan.
Wisel penamat mengesahkan kemenangan 2-0 Sabah FC untuk mengumpul kemenangan kedua mereka dalam kempen Liga Super 2026/27. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Sabah FC
