KUALA LUMPUR – Pelumba sensasi Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tampil penuh keyakinan menjelang Grand Prix (GP) Aragon hujung minggu ini dengan sasaran kembali mengutip mata selepas kecewa pada GP Britain di Silverstone.
Pelumba berusia 19 tahun yang mewakili AEON Credit – MT Helmets – MSi itu terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal di Silverstone selepas terbabit dalam insiden dengan pelumba lain sehingga menyebabkan kemalangan.
Namun, insiden berkenaan tidak mematahkan semangat anak kelahiran Terengganu itu apabila dia meningkatkan intensiti latihan selain meneliti kelemahan yang dikenal pasti daripada perlumbaan di Silverstone.
Lebih menarik, litar Aragon bukanlah asing buat Hakim Danish apabila dia pernah muncul juara pada Perlumbaan 2 Pusingan 3 Red Bull MotoGP Rookies Cup di litar berkenaan pada 2025.
Memulakan perlumbaan dari petak ketujuh, Hakim Danish bangkit dengan aksi bertenaga sebelum melakukan pintasan pada selekoh terakhir untuk meraih kemenangan.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian selepas lima kali sebelum ini muncul naib juara dalam saingan Rookies Cup.
Pengalaman tersebut menjadi suntikan keyakinan buat Hakim Danish untuk kembali mencipta keputusan positif dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
Selepas 12 pusingan, pelumba Malaysia itu kini berada di tangga kelapan keseluruhan dengan 86 mata, selain menduduki tempat ketiga dalam kedudukan Rookie of the Year 2026.
Hakim Danish hanya ketinggalan 11 mata di belakang pelumba Indonesia, Veda Pratama yang mengumpul 97 mata di tempat kedua, manakala Brian Uriarte dari Argentina menerajui kedudukan rookie dengan 127 mata.
Mengulas persiapannya menghadapi GP Aragon, Hakim Danish berkata dia sudah menilai kelemahan ketika GP Britain dan melakukan beberapa penambahbaikan dalam latihan.
“Selepas GP Britain, saya menilai kelemahan saya dan melakukan beberapa penambahbaikan ketika latihan.
“Saya juga meneliti perlumbaan Red Bull Rookies saya di Aragon sebagai persediaan untuk minggu ini,” katanya.
Hakim Danish percaya pengalaman pernah menjuarai perlumbaan di litar berkenaan mampu memberikan kelebihan dari segi keyakinan.
“Saya pernah menang di Aragon sebelum ini dan pengalaman itu pasti memberikan keyakinan tambahan kepada saya.
“Saya mahu menggunakan pengalaman itu bersama segala persiapan yang sudah dilakukan untuk kembali lebih kuat di Aragon,” katanya.
Pelumba muda negara itu turut bertekad memberikan aksi terbaik bagi memburu keputusan positif pada perlumbaan hujung minggu ini.
“Saya akan memberikan yang terbaik dan berjuang sehingga tamat untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
