KUALA LUMPUR – Kuching City FC membuka akaun kemenangan dalam Liga Super 2026/27 dengan penuh bergaya apabila membelasah Kuala Lumpur (KL) City 6-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Lebih menarik, penyerang kelahiran Cameroon, Jerome Mpacko Etame menjadi wira skuad The Cats selepas meledak empat gol, manakala Ajdin Mujagic menyumbang dua jaringan untuk melengkapkan kemenangan besar berkenaan.
KL City berdepan situasi sukar apabila terpaksa memulakan perlawanan dengan hanya 10 pemain serta seorang pemain gantian susulan masalah kewangan dan penularan influenza dalam skuad.
Kuching City mengambil kesempatan itu apabila Mujagic membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada awal permainan.
The Cats kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-25 apabila Etame menanduk masuk hantaran James Okwuosa daripada sepakan sudut yang gagal dikawal kemas pertahanan tuan rumah.
Bagaimanapun, Kuching City turut kehilangan seorang pemain apabila Okwuosa dilayangkan kad merah terus selepas melakukan terjahan lewat terhadap pemain KL City sebelum tamat babak pertama.
Biarpun beraksi dengan 10 pemain, Kuching City terus mengganas selepas rehat apabila Etame menjaringkan gol keduanya pada minit ke-47 menerusi tandukan hasil hantaran Arif Farhan.
Lima minit kemudian, Etame melengkapkan hatrik selepas menyambar bola muntah susulan percubaan Wenzell-Halls yang terkena tiang.
Mujagic kemudian menambah penderitaan KL City pada minit ke-55 selepas menyudahkan hantaran Wenzell-Halls untuk menjadikan kedudukan 5-0.
Etame akhirnya melengkapkan persembahan luar biasa pada minit berikutnya apabila menjaringkan gol keempat peribadi bagi memastikan Kuching City menutup tirai perlawanan dengan kemenangan 6-0.
Kemenangan itu menyaksikan Kuching City mengutip tiga mata pertama dalam kempen Liga Super musim ini, sekali gus memberi suntikan semangat selepas melalui permulaan sukar.
Bagi KL City pula, kekalahan tersebut menambah tekanan terhadap pasukan yang kini berdepan masalah kewangan dan kekangan pemain.
KL City akan berdepan Brunei DPMM FC pada 29 Ogos, manakala Kuching City turut beraksi pada tarikh sama menentang Kelantan Red Warrior. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL
