TANJUNG MALIM – Sebanyak 30 pasukan sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menggalas cabaran dan membawa nama universiti pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff menyerahkan bendera universiti kepada wakil pasukan yang akan bertanding pada temasya berkenaan sebagai simbol amanah, maruah dan harapan seluruh warga UPSI.
Beliau berkata, bendera itu bukan sekadar lambang universiti, sebaliknya membawa bersama doa serta harapan agar setiap atlet memberikan persembahan terbaik dalam pertandingan.
“Berjuanglah dengan penuh keberanian, disiplin dan semangat kesukanan. Bawalah nama UPSI dengan bangga dan angkatlah bendera ini setinggi mungkin,” katanya.
Menurut beliau, para atlet juga diingatkan supaya menjunjung semangat kesukanan dengan menerima kemenangan secara rendah hati dan kekalahan dengan penuh bermaruah.
“Menanglah dengan rendah hati, tewaslah dengan bermaruah dan jangan pernah berhenti berjuang.
“Pergilah sebagai pejuang, bertandinglah dengan jiwa dan pulanglah membawa kebanggaan untuk UPSI,” katanya.
Beliau turut mendoakan semua pasukan diberikan kekuatan, ketenangan serta kejayaan sepanjang saingan SUKIPT 2026.
SUKIPT merupakan temasya sukan yang menghimpunkan institusi pendidikan tinggi dari seluruh negara bagi mempertandingkan pelbagai acara sukan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Naib Canselor UPSI
