SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyokong penuh kebimbangan Médecins Sans Frontières (MSF) susulan keputusan Peguam Bela Tentera Israel (MAG) menutup kes serangan maut terhadap petugas dan fasiliti MSF di Gaza tanpa membuka siasatan jenayah.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keputusan itu menimbulkan persoalan serius terhadap kredibiliti dan kebebasan mekanisme akauntabiliti dalaman Israel.
“Institusi ketenteraan yang menyiasat dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa membabitkan tenteranya sendiri tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada siasatan yang bebas, telus dan tidak berat sebelah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara kes yang ditutup termasuk serangan terhadap konvoi MSF di Gaza City pada November 2023 yang mengorbankan dua individu serta serangan ke atas tempat perlindungan MSF di Khan Younis pada Februari 2024 yang mengorbankan dua orang dan mencederakan enam yang lain.
Mohd Azmi berkata, lebih membimbangkan apabila selepas hampir dua tahun, kes berkenaan ditutup tanpa siasatan jenayah walaupun identiti kakitangan MSF diketahui dan lokasi mereka telah dimaklumkan.
“Nyawa yang terkorban adalah nyata. Kakitangan MSF dan ahli keluarga mereka terbunuh, lokasi mereka diketahui dan kenderaan mereka dikenal pasti dengan jelas.
“Namun, pihak berkuasa tentera Israel memilih untuk tidak meneruskan siasatan jenayah terhadap kematian berkenaan. Ini adalah kegagalan serius dari aspek akauntabiliti,” katanya.
Menurutnya, MSF memaklumkan seramai 15 kakitangannya terbunuh di Gaza akibat tindakan tentera Israel sejak Oktober 2023.
Katanya, angka itu merupakan sebahagian daripada corak lebih besar yang menyaksikan petugas kesihatan, pekerja kemanusiaan, wartawan dan orang awam terbunuh, selain hospital serta infrastruktur perubatan mengalami kemusnahan besar.
MAPIM turut menyuarakan kebimbangan terhadap hak perlindungan petugas kesihatan dan kemanusiaan yang semakin terhakis di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Prinsipnya jelas. Petugas perubatan, pekerja kemanusiaan, fasiliti perubatan dan operasi kemanusiaan mesti dilindungi.
“Perlindungan ini tidak boleh bergantung kepada pertimbangan politik atau keputusan semakan dalaman tentera,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa siasatan bebas, tidak berat sebelah dan telus dijalankan terhadap semua serangan membabitkan petugas serta fasiliti MSF di Gaza.
MAPIM turut menggesa masyarakat antarabangsa meneliti siasatan dalaman tentera Israel, memastikan perlindungan berkesan terhadap petugas kesihatan dan kemanusiaan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab atas serangan yang menyalahi undang-undang tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Selain itu, MAPIM mahu mekanisme antarabangsa bagi menyiasat dakwaan jenayah perang dan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Gaza diperkukuh.
“Komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan institusi kehakiman antarabangsa yang berkaitan tidak boleh menerima siasatan kendiri tentera sebagai pengganti kepada akauntabiliti bebas.
“Tiada keamanan sebenar tanpa keadilan dan tiada keadilan tanpa akauntabiliti,” katanya.
MAPIM turut menyatakan solidariti terhadap MSF serta semua pekerja kemanusiaan dan perubatan yang terus berkhidmat dalam keadaan amat berbahaya di Gaza.
“Nyawa mereka penting. Kematian mereka tidak boleh dilupakan dan mereka berhak mendapat keadilan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
