SHAH ALAM – Nafsu untuk mendapatkan kuasa dan menjatuhkan lawan kini menyumbang kepada budaya fitnah, tuduhan tanpa bukti serta serangan peribadi yang semakin membimbangkan dalam politik negara.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, politik sepatutnya menjadi ruang untuk menawarkan gagasan, memperjuangkan kepentingan rakyat dan mencari penyelesaian terbaik untuk membangunkan negara.
Namun katanya, apabila politik dikuasai keinginan untuk mendapatkan kuasa dan menjatuhkan pihak lawan, batas antara persaingan dan permusuhan semakin kabur.
“Fitnah, tuduhan tanpa bukti, manipulasi maklumat dan serangan peribadi akhirnya menjadi sebahagian daripada budaya politik yang semakin membimbangkan.
“Kita sedang berhadapan dengan krisis yang lebih besar daripada sekadar pertelingkahan antara parti, iaitu kemerosotan akhlak dalam politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, apabila seseorang sanggup memutarbelitkan fakta semata-mata mahu melihat lawannya jatuh, politik sudah kehilangan tujuan moralnya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kuasa dijadikan matlamat, manakala amanah semakin dilupakan.
Beliau berkata, dalam Islam, maruah manusia mempunyai kedudukan tinggi dan al-Quran memberi peringatan tegas mengenai larangan memperolok-olokkan, mencela, memanggil dengan gelaran buruk, berprasangka serta mencari-cari kesalahan orang lain.
Katanya, al-Quran turut memerintahkan supaya sesuatu berita diperiksa terlebih dahulu sebelum diterima dan disebarkan menerusi prinsip tabayyun.
“Prinsip tabayyun ini sangat penting dalam politik hari ini.
“Sebuah tuduhan yang belum terbukti boleh disebarkan dalam beberapa saat melalui media sosial dan mungkin dikongsi ribuan kali sebelum orang sempat menyemak kebenarannya.
“Apabila fakta sebenar muncul, kerosakan terhadap reputasi seseorang mungkin sudah berlaku,” katanya.
Mohd Azmi berkata, lebih membimbangkan apabila individu yang menyebarkan maklumat palsu jarang berasa bertanggungjawab terhadap kesan yang ditimbulkan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada politik masih menjadi medan memperjuangkan kebenaran atau sudah berubah menjadi ruang untuk mengalahkan sesiapa sahaja yang dianggap sebagai pesaing.
Menurutnya, persaingan politik adalah perkara normal dalam demokrasi kerana perbezaan parti, ideologi dan pendekatan bukan satu masalah.
“Yang menjadi masalah ialah apabila perbezaan itu diterjemahkan menjadi kebencian dan permusuhan peribadi.
“Kritikan terhadap dasar adalah hak. Menyoal prestasi kerajaan juga hak. Membongkar kelemahan pentadbiran berdasarkan fakta turut menjadi sebahagian daripada proses demokrasi.
“Tetapi menuduh seseorang tanpa bukti, mereka-reka cerita, memanipulasi kenyataan, mengaibkan keluarga dan menyebarkan perkara tidak benar adalah perkara berbeza,” katanya.
Beliau menegaskan, kritikan membina masyarakat manakala fitnah menghancurkannya.
Katanya, apabila budaya fitnah menjadi kebiasaan, rakyat akhirnya sukar membezakan antara kebenaran dan pembohongan kerana naratif yang paling cepat tersebar serta berjaya membangkitkan emosi lebih mudah mendapat perhatian.
Media sosial jadi medan fitnah
Mohd Azmi berkata, perkembangan teknologi komunikasi turut menjadikan penyebaran fitnah lebih berbahaya kerana satu video yang dipotong tanpa konteks, gambar dimanipulasi, petikan yang diselewengkan atau dakwaan tanpa sumber boleh menjadi bahan propaganda politik.
“Lebih membimbangkan, sebahagian masyarakat berkongsi sesuatu hanya kerana ia sesuai dengan kecenderungan politik mereka.
“Mereka tidak lagi bertanya, ‘Benarkah perkara ini?’ Sebaliknya mereka bertanya, ‘Adakah perkara ini menguntungkan pihak yang saya sokong?’,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan berlakunya kemerosotan disiplin intelektual dalam masyarakat.
Beliau menegaskan, kebenaran tidak sepatutnya berubah mengikut parti yang disokong.
“Jika sesuatu itu salah, ia tetap salah walaupun dilakukan oleh orang yang kita sokong. Jika sesuatu itu benar, ia tetap benar walaupun datang daripada pihak yang kita tidak sukai.
“Inilah prinsip keadilan yang semakin sukar dipertahankan dalam politik partisan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azmi mengingatkan supaya lawan politik tidak dilihat sebagai musuh yang perlu dihancurkan.
Katanya, lawan politik ialah individu yang mempunyai pandangan, gagasan atau pendekatan berbeza dan boleh dikritik, dicabar serta dikalahkan melalui proses demokrasi.
Namun, katanya, apabila lawan politik dianggap musuh, segala cara mula dilihat sebagai halal termasuk serangan peribadi, fitnah, pembunuhan reputasi dan kempen kebencian.
“Budaya seperti ini akhirnya melahirkan politik yang toksik.
“Generasi muda yang melihat politik dari luar akan bertanya, mengapa mereka perlu menyertai politik jika politik hanya tentang memaki, menuduh dan menjatuhkan orang?” katanya.
Mohd Azmi berkata, fitnah tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada strategi politik untuk memenangkan sesuatu parti.
“Fitnah tidak menjadi halal hanya kerana ia dilakukan untuk memenangkan parti.
“Kebohongan tidak menjadi benar hanya kerana ia menguntungkan perjuangan kita. Aib seseorang juga tidak boleh dijadikan bahan kempen hanya kerana dia berada di pihak yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, politik dalam perspektif Islam adalah amanah, manakala kuasa, lidah dan maklumat juga merupakan amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.
“Setiap perkataan mempunyai akibat. Setiap tuduhan mempunyai tanggungjawab moral. Setiap maklumat yang kita sebarkan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
“Maka seorang Muslim yang terlibat dalam politik sepatutnya lebih berhati-hati dalam menggunakan lidah dan media,” katanya.
Rakyat turut bertanggungjawab
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, masyarakat turut mempunyai tanggungjawab untuk membendung budaya fitnah kerana ia tidak akan berkembang tanpa pengguna media sosial yang sanggup menerima dan menyebarkannya.
Beliau menyeru orang ramai supaya tidak berkongsi sesuatu maklumat sebelum menyemak kesahihannya serta tidak mempercayai sesuatu dakwaan hanya kerana ia datang daripada tokoh yang disukai.
Katanya, masyarakat juga tidak wajar menolak sesuatu hanya kerana ia datang daripada pihak yang tidak disukai.
“Jangan jadikan emosi sebagai pengganti fakta.
“Jika kita benar-benar mahu memperbaiki politik negara, perubahan mesti berlaku dalam dua arah. Pemimpin perlu memperbaiki budaya politik, manakala rakyat pula mesti meningkatkan literasi maklumat dan disiplin moral,” katanya.
Mohd Azmi berkata, negara tidak boleh dibina dengan kebencian kerana walaupun rakyat berbeza parti dan pandangan politik, mereka tetap berkongsi negara serta berdepan masalah yang sama.
Katanya, isu kos sara hidup, kemiskinan, pengangguran, rasuah, pendidikan, kesihatan dan masa depan ekonomi negara sepatutnya diberikan perhatian berbanding tenaga politik yang dihabiskan untuk menjatuhkan sesama sendiri.
“Jika politik hanya digunakan untuk mencari kesalahan lawan, siapa yang akan menyelesaikan masalah rakyat?
“Jika setiap tenaga digunakan untuk membina persepsi negatif terhadap pesaing, siapa yang akan membina masa depan negara?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak mengembalikan politik kepada asas yang lebih bermaruah dengan bersaing menerusi idea, berhujah berdasarkan fakta, mengkritik dasar dan menilai prestasi.
“Dedahkan salah laku dengan bukti. Tolak rasuah. Tolak manipulasi. Tolak fitnah.
“Jangan serang keluarga seseorang kerana kelemahan politiknya. Jangan cipta cerita kerana mahu mendapatkan sokongan. Jangan jadikan agama sebagai alat untuk menghalalkan kebencian,” katanya.
Beliau berkata, politik yang matang tidak takut kepada perbezaan dan tidak memerlukan fitnah untuk mencapai kemenangan.
“Politik yang matang mampu mengalahkan hujah dengan hujah, dasar dengan dasar dan prestasi dengan prestasi,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Mohd Azmi berkata, budaya fitnah dalam politik tidak boleh dibiarkan kerana ia akan merosakkan kepercayaan rakyat, memecahbelahkan masyarakat dan melahirkan generasi yang menganggap kebohongan sebagai perkara biasa untuk mendapatkan kuasa.
“Kita tidak boleh menerima logik bahawa asal menang, apa cara pun boleh.
“Dalam politik, kemenangan mempunyai nilai hanya apabila ia dicapai dengan integriti.
“Kalah dengan maruah lebih baik daripada menang dengan fitnah,” katanya.
Beliau berkata, politik memerlukan perbezaan, keberanian dan persaingan, tetapi semua itu tidak menghalalkan fitnah.
“Kita perlu menghentikan budaya menjatuhkan manusia untuk mendapatkan kuasa. Negara memerlukan politik yang membina, bukan politik yang membakar.
“Rakyat memerlukan pemimpin yang berani berkata benar, bukan mereka yang paling bijak mencipta cerita.
“Sudah tiba masanya kita bertanya dengan jujur: apabila fitnah menjadi senjata untuk menang, siapakah sebenarnya yang sedang kita kalah?
“Jawapannya ialah kita semua,” katanya. – DETIK MALAYSIA
