HANOI – Vietnam berjaya mempertahankan kejuaraan ASEAN Hyundai Cup 2026 selepas seri 2-2 dengan Thailand dalam aksi final kedua di Stadium My Dinh, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan Vietnam menang dengan agregat 4-2 selepas membawa bekalan kemenangan 2-0 dari aksi pertama di Bangkok.
Thailand yang perlu mengejar defisit dua gol bermula garang apabila Yotsakon Burapha membuka tirai jaringan pada minit ke-12 selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Vietnam.
Jaringan itu menghidupkan semula peluang Thailand apabila Vietnam hanya mendahului 2-1 secara agregat.
Vietnam hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-42 menerusi tandukan Nguyen Xuan Son yang bagaimanapun terkena tiang.
Thailand kemudian memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan agregat pada minit ke-48 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas Kakana Khamyok dijatuhkan dalam kawasan penalti.
Namun, Kakana gagal memanfaatkan peluang berkenaan apabila sepakannya melambung melepasi palang.
Kegagalan itu akhirnya dihukum Vietnam empat minit kemudian apabila hantaran lintang Phan Tuan Tai disudahkan Do Hoang Hanh, dengan percubaan tersebut terkena tiang sebelum melantun mengenai penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom dan masuk ke gawang sendiri.
Jaringan berkenaan mengubah kedudukan agregat kepada 3-1 memihak Vietnam.
Thailand terus berusaha bangkit dan hampir merapatkan jurang pada minit ke-69, namun sepakan percuma Nguyen Hai Long terkena tiang.
Usaha skuad kendalian Anthony Hudson akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-85 apabila Wanchai Jarunongkran menyambar bola panjang sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan pertahanan Vietnam.
Thailand kembali dalam permainan dengan agregat 2-3 dan hanya memerlukan satu gol untuk memaksa perlawanan ke masa tambahan.
Bagaimanapun, Vietnam memastikan trofi kekal dalam genggaman mereka apabila Wanchai tertampan bola ke gawang sendiri tiga minit selepas masa tambahan bermula.
Jaringan tersebut menjadikan kedudukan 2-2 pada malam berkenaan, namun Vietnam menang 4-2 secara agregat.
Keputusan itu sekali gus mengesahkan Vietnam sebagai juara Hyundai Cup 2026, manakala Thailand terpaksa berpuas hati sebagai naib juara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – VFF
