JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menunjukkan kehebatan apabila membelasah Kelantan Red Warrior (KRW) 9-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Penyerang Iran, Shahab Zahedi menjadi watak utama kemenangan bergaya itu selepas meledak empat gol untuk membantu skuad Harimau Selatan mengekalkan momentum awal kempen Liga Super Malaysia 2026/27.
JDT membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Zahedi sebelum penyerang itu sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-37.
Kelantan RW terus tertekan dan kesilapan pertahanan menyaksikan Muhammad Mohd Faudzi tertampan bola ke gawang sendiri pada masa kecederaan babak pertama, sekali gus menyaksikan JDT mendahului 3-0 ketika rehat.
Bersambung babak kedua, Jairo da Silva menambah gol keempat JDT pada minit ke-49 sebelum Zahedi melengkapkan hatrik seminit kemudian.
Zahedi kemudiannya terus mencuri tumpuan apabila meledak gol keempat peribadinya pada minit ke-61 untuk menjadikan kedudukan 6-0.
JDT tidak memperlahankan rentak apabila Nahuel Leiva menambah gol ketujuh pada minit ke-77, disusuli jaringan Eddy Israfilov tiga minit kemudian.
Arif Aiman Hanapi melengkapkan pesta gol JDT menerusi jaringan pada minit ke-89 untuk memastikan kemenangan besar 9-0.
Kemenangan itu hadir beberapa hari selepas JDT menjuarai Piala Sumbangsih dan jelas membuktikan skuad kendalian Xisco Muñoz memiliki jentera serangan yang cukup ampuh.
Bagi Kelantan RW, kekalahan besar itu menyusuli tewas kepada Selangor pada aksi pembukaan dan menjadi cabaran besar buat pasukan berkenaan dalam musim pertama mereka di pentas Liga Super.
JDT selepas ini dijadualkan menentang Star City FC pada 29 Ogos, manakala Kelantan RW akan bertandang menentang Kuching City pada tarikh sama. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
