KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City FC (KL City) menerima kelulusan khas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 12 pemain bagi aksi Liga Super Unifi 2026/27 menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Kelulusan itu diberikan susulan masalah pendaftaran pemain yang dihadapi KL City akibat sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung tunggakan kewangan membabitkan bekas pemain.
MFL mengesahkan Lembaga Pengarahnya meluluskan permohonan khas KL City selepas menerima permohonan rasmi berkaitan status pendaftaran pemain kelab berkenaan.
Dalam permohonan bertarikh 26 Ogos 2026, KL City memaklumkan mereka sudah melunaskan tunggakan bayaran kepada tiga bekas pemain asing.
Bagaimanapun, kelab itu masih menunggu pengesahan rasmi FIFA berhubung penarikan balik sekatan pendaftaran berkenaan.
Sekiranya sekatan tersebut masih berkuat kuasa sebelum sepak mula malam ini, KL City tidak dapat melengkapkan pendaftaran skuad seperti biasa dan memohon kebenaran khas untuk beraksi dengan minimum 12 pemain.
Kelulusan itu membolehkan perlawanan menentang Kuching City diteruskan sementara KL City menyelesaikan proses dengan FIFA.
Bagaimanapun, MFL mengarahkan KL City mengambil semua tindakan sewajarnya bagi melengkapkan proses pendaftaran pemain dan memastikan skuad mereka mematuhi keperluan liga sebelum tarikh tutup jendela pendaftaran pertama Liga Malaysia pada 3 September ini.
Tekanan terhadap KL City semakin meningkat selepas mereka sebelum ini tewas 0-3 secara pentadbiran kepada Negeri Sembilan FC kerana gagal menurunkan pasukan, selain dikenakan denda RM50,000 oleh MFL.
Kini, KL City perlu segera menyelesaikan isu pendaftaran berkenaan bagi memastikan mereka mampu memenuhi baki jadual saingan Liga Super musim ini. – DETIK MALAYSIA
