Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Apa yang berlaku kepada kargo petroleum di bawah deklarasi K8 selepas dipunggah ke tangki simpanan di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor menjadi persoalan yang kini mahu diperjelaskan pemain industri maritim.
Pemain industri maritim, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, antara perkara yang perlu diberi penjelasan ialah sama ada kargo berkenaan boleh disimpan dalam tangki pantai yang dikongsi dengan inventori sedia ada.
Menurutnya, turut timbul persoalan sama ada kargo berkenaan boleh dicampur atau digabungkan serta apakah prosedur dokumentasi yang perlu dipatuhi.
“Antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah sama ada kargo petroleum di bawah deklarasi K8 boleh disimpan dalam tangki pantai yang dikongsi.
“Ia sama ada kargo berkenaan boleh dicampur atau digabungkan serta apakah prosedur dokumentasi yang perlu dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jeyenderan berkata, pihaknya sudah berusaha mendapatkan penjelasan daripada pelbagai agensi, jabatan dan kementerian berkaitan sejak 27 April hingga 20 Ogos lalu, namun masih belum menerima penetapan rasmi berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan.
Katanya, penjelasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) khususnya diperlukan berhubung pelaksanaan prosedur K8 selepas kargo petroleum dipunggah ke tangki simpanan.
“Perkara yang perlu dijelaskan termasuk status kargo, keperluan pengasingan, kaedah pemantauan serta mekanisme kebolehkesanan antara dokumen dengan kargo fizikal,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan satu laporan 18 muka surat yang disediakan Maritime Network Sdn Bhd bertarikh 24 Ogos mendakwa dua penghantaran Atlanta Crude berjumlah 76,954.325 tan metrik dipunggah ke beberapa tangki yang mempunyai inventori sedia ada.
Laporan itu mendakwa penghantaran pertama membabitkan 34,903.062 tan metrik Atlanta Crude daripada MT Marlin Santorini pada Januari, manakala 42,051.263 tan metrik lagi dibawa MT Invictus pada Mac.
Menurut laporan berkenaan, rekod pengukuran tangki yang dirujuk menunjukkan terdapat inventori sedia ada dalam beberapa tangki sebelum pemunggahan kargo terbabit.
Laporan sama turut merujuk kepada rekod inventori yang mengandungi beberapa jenis produk petroleum termasuk Low Sulphur Waxy Residue, Decant Oil, Slurry Oil dan Crude Oil.
Jeyenderan berkata, perkara itu memerlukan penjelasan pihak berkuasa bagi memastikan pemain industri memahami kedudukan sebenar dari aspek kawal selia, dokumentasi dan percukaian.
“Susulan penjelasan SPRM, perkara ini kini memerlukan penjelasan daripada pihak berkuasa berkaitan, khususnya mengenai aspek kawal selia dan percukaian.
“Industri perlu mengetahui sama ada amalan berkenaan dibenarkan, dokumen yang perlu mengiringi kargo serta bagaimana layanan cukai ditentukan,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi surat bertarikh 20 Ogos dilaporkan memaklumkan bahawa pihaknya meneliti kebimbangan berkaitan prosedur deklarasi K8 melalui semakan silang dengan JKDM, Kementerian Kewangan (MOF) dan Petronas.
Menurut laporan media, semakan itu tidak menemukan asas bagi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan tiada ketirisan hasil kerajaan dikenal pasti setakat penelitian berkenaan.
Jeyenderan berkata, pihaknya bersedia menyerahkan dokumen dan laporan berkaitan pemunggahan serta penyimpanan kargo bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai operasi berkenaan.
“Saya akan mendedahkan laporan berkaitan kargo ini supaya semua pihak dapat meneliti fakta dan rekod sebenar serta perkara ini dapat disiasat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau sebelum ini turut menegaskan bahawa pihaknya tidak membuat sebarang tuduhan terhadap JKDM atau mana-mana pihak, sebaliknya mahu mendapatkan penjelasan rasmi mengenai pelaksanaan prosedur K8 supaya pemain industri dapat menjalankan operasi berdasarkan tatacara yang jelas. – DETIK MALAYSIA
