KUALA TERENGGANU – Selangor FC meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super Unifi 2026/27 selepas membelasah Terengganu FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Red Giants mengumpul enam mata daripada dua perlawanan, sekali gus mengekalkan permulaan sempurna dalam kempen musim ini.
Selepas kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan pada babak pertama, Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-58 menerusi penyerang Belanda, Kay Tejan.
Gol itu hadir selepas percubaan Hugo Boumous ditepis penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim sebelum Tejan pantas menyambar bola muntah untuk meletakkan Selangor di depan 1-0.
Empat minit kemudian, Selangor menggandakan kelebihan menerusi Chrigor Moraes.
Boumous sekali lagi memainkan peranan penting apabila melorongkan bola kepada Chrigor yang melakukan larian solo sebelum tenang menewaskan Rahadiazli untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Sebelum itu, Selangor hampir membuka jaringan pada minit ke-42 menerusi Chrigor, namun rembatan kencang pemain Brazil itu sekadar menggegar palang.
Terengganu pula mempunyai peluang terbaik pada minit ke-36 menerusi Gervane Kastaneer, namun percubaannya berjaya disekat Arbenit Xhemajli.
Selangor terus menguasai permainan selepas mendahului dua gol, namun aksi mereka terganggu seketika pada minit ke-75 apabila penjaga gol Sikh Izhan Sikh Azman terpaksa dikeluarkan selepas bertembung dengan penyerang Terengganu, Romel Morales.
Sikh Izhan kemudiannya menerima rawatan di hospital dan tempatnya digantikan Muhammad Azim Kamaruddin.
Terengganu cuba bangkit pada penghujung permainan dengan melancarkan beberapa serangan, namun gagal menembusi benteng Selangor.
Sebaliknya, Selangor melengkapkan kemenangan bergaya apabila Chrigor menjaringkan gol keduanya pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 3-0 buat Red Giants.
Keputusan itu menyaksikan Selangor mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan dan muncul antara pasukan yang memulakan kempen Liga Super musim ini dengan cemerlang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC
