KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada kargo petroleum yang diadun menjadi produk komersial baharu masih tertakluk kepada layanan kastam asal perlu diperjelaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pemain industri maritim, Datuk Seri R. Jeyenderan, berkata penjelasan itu penting khususnya terhadap petroleum yang dibawa masuk di bawah prosedur K8 dan kemudiannya menjalani proses pengadunan bagi menghasilkan Very Low Sulphur Fuel Oil (VLSFO) di kemudahan di bawah kawalan kastam.
Katanya, persoalan utama timbul apabila petroleum yang disimpan dalam tangki kemudiannya dicampurkan dengan produk petroleum lain sehingga menghasilkan produk komersial berbeza.
“Jika produk petroleum yang berbeza dicampurkan dalam tangki yang sama untuk menghasilkan VLSFO, adakah ia masih boleh dianggap sebagai penyimpanan atau transit, atau adakah kargo itu sebenarnya telah berubah menjadi produk baharu?” katanya dalam kenyataan, semalam.
Jeyenderan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd berkata, JKDM perlu menjelaskan sama ada pengisytiharan K8 asal masih terpakai selepas petroleum menjalani proses pengadunan atau produk yang terhasil perlu diisytiharkan secara berasingan.
Menurutnya, perkara itu turut mempunyai implikasi terhadap pengendalian duti dan cukai sekiranya petroleum yang dibawa masuk ke Malaysia di bawah pengaturan kawalan kastam diadun menjadi VLSFO sebelum dieksport atau dikeluarkan dari kemudahan berkenaan.
“Isunya bukan semata-mata sama ada kerajaan perlu mengenakan cukai baharu, tetapi sama ada peraturan kastam, zon bebas, gudang berlesen dan peraturan berkaitan petroleum sedia ada dilaksanakan secara konsisten apabila berlaku perubahan fizikal atau komersial terhadap kargo,” katanya.
Beliau berkata, kejelasan berhubung perkara itu penting bagi memastikan pemain industri mengetahui aktiviti yang dibenarkan, rekod yang perlu disimpan serta pengisytiharan yang perlu dibuat dalam keadaan berbeza.
Dalam pada itu, aspek kebolehkesanan kargo juga perlu diberi perhatian, terutama apabila tangki penyimpanan darat sudah mempunyai inventori petroleum sebelum kargo baharu dipunggah.
Jeyenderan berkata, pengendali terminal perlu mampu menunjukkan jumlah petroleum yang memasuki tangki, inventori sedia ada, kuantiti yang digunakan dalam proses pengadunan serta jumlah produk yang akhirnya dikeluarkan.
“Dengan sistem imbangan jisim (mass balance) yang jelas, JKDM dapat menyemak dan memadankan jumlah kargo serta menentukan pergerakan dan pengendalian setiap kargo petroleum, khususnya apabila beberapa aliran petroleum dicampurkan dalam tangki yang sama,” katanya.
Beliau berkata, sistem berkenaan juga penting bagi memastikan identiti, kuantiti, klasifikasi dan status cukai setiap kargo dapat terus dijejaki sepanjang proses pengendalian.
Persoalan itu timbul susulan kontroversi membabitkan hampir 77,000 tan kargo petroleum yang diisytiharkan di bawah K8 di Tanjung Langsat, Johor.
Sebelum ini, pemain industri turut membangkitkan persoalan mengenai kebolehkesanan kargo berkenaan selepas dipunggah ke tangki yang didakwa mempunyai inventori petroleum sedia ada.
Jeyenderan berkata, apabila kargo dipunggah ke dalam tangki yang sudah mempunyai inventori sedia ada, mekanisme merekod serta mengesan kargo asal perlu dijelaskan bagi memastikan pergerakannya dapat dikenal pasti dengan tepat.
“Apabila kargo dipunggah ke dalam tangki yang sudah mempunyai inventori sedia ada, persoalannya ialah bagaimana rekod dan kebolehkesanan kargo asal dapat dipastikan dengan tepat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, akan membangkitkan di Parlimen kebimbangan berhubung ketidakpastian percukaian kargo minyak yang dicampurkan dan disimpan dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat.
Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Ekonomi dan Kewangan, berkata akan menggesa jawatankuasa itu memanggil pihak berkaitan bagi memberikan penjelasan serta membincangkan penyelesaian terhadap isu berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pada 13 Ogos lalu dilaporkan berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung kebimbangan mengenai layanan cukai terhadap kargo minyak yang dicampurkan.
Loke berkata kementeriannya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang cukai baharu terhadap kargo berkenaan, sambil menambah perkara itu berada di bawah bidang kuasa JKDM dan MOF.
Jeyenderan berkata, kejelasan daripada pihak berkuasa penting bagi memastikan setiap kargo petroleum dapat dijejaki dan layanan kastam yang diberikan selaras dengan aktiviti sebenar yang dijalankan di terminal.
Beliau turut menegaskan bahawa persoalan berkenaan bukan bertujuan membuat kesimpulan berlaku sebarang kesalahan, sebaliknya memerlukan penjelasan mengenai peraturan dan prosedur yang terpakai terhadap pengendalian kargo petroleum di bawah kawalan kastam. – DETIK MALAYSIA
