KUALA LUMPUR - Pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) disahkan sah mengikut perundangan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua proses pemberian taraf kewarganegaraan kepada pemain terbabit dilakukan mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan serta Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.
Katanya, isu penggantungan pemain berkenaan tidak berkait dengan aspek undang-undang Malaysia, sebaliknya melibatkan statut FIFA yang kini sedang ditangani oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di peringkat rayuan.
“Dari segi kelayakan mengikut FIFA, itu urusan antara FAM dan FIFA yang sedang diuruskan.
Namun, dari sudut perundangan Malaysia, proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain ini jelas mematuhi semua peruntukan yang ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN–Kangar) di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH–Bangi), Saifuddin menjelaskan bahawa tiga rukun utama di bawah Perkara 19 perlu dipenuhi bagi mendapatkan kewarganegaraan, iaitu tempoh bermastautin di Malaysia, kelakuan baik serta penguasaan Bahasa Melayu yang memadai.
Bagaimanapun, beliau berkata, Seksyen 20(1)(e) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Dalam Negeri untuk menilai dan meluluskan permohonan berdasarkan keadaan tertentu.
“Dalam kes pemain warisan ini, saya menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 20(1)(e) bagi memenuhi syarat bermastautin dan keperluan penguasaan Bahasa Melayu yang mencukupi,” jelasnya.
Tambah beliau, sebelum ini terdapat cadangan daripada Ahli Parlimen agar syarat ujian Bahasa Melayu dipermudahkan, khususnya bagi warga emas.
“Markah penuh bagi ujian bahasa ialah lapan, dan saya turunkan kepada dua bagi memudahkan golongan tertentu. Prinsip yang sama digunakan dalam kes pemain warisan ini melalui kuasa di bawah Seksyen 20(1)(e),” katanya. - DETIK MALAYSIA