ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz mahu anak buahnya menampilkan karakter, semangat dan nilai pasukan bagi menamatkan badi ketika berdepan Buriram United pada aksi Liga AFC Champions League Elite (ACLE) 2026/27, esok.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menegaskan tiada alasan boleh diberikan JDT sekiranya gagal mendapatkan keputusan positif dalam aksi pembukaan peringkat Liga Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim.
Katanya, perubahan jurulatih yang berlaku dalam kem Buriram United beberapa hari sebelum perlawanan bukan sesuatu yang boleh dijadikan kelebihan atau alasan buat skuad Harimau Selatan.
“Esok kita perlu tunjukkan kepada semua bahawa kekalahan sebelum ini hanyalah satu kemalangan.
“Tidak kira sama ada jurulatih mereka baru sehari, dua hari atau 20 hari mengendalikan pasukan, bagi saya tiada alasan.
“Apa yang kita perlukan esok ialah pemain dan staf memahami bahawa inilah masanya untuk menunjukkan karakter, semangat serta nilai kita bagi mewakili JDT dengan baik,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan.
JDT sebelum ini mempunyai rekod kurang memberangsangkan ketika berdepan wakil Thailand berkenaan dan Xisco mengakui masih mengingati perasaan pasukannya selepas kekalahan terdahulu.
Bagaimanapun, beliau percaya pengalaman itu mampu dijadikan pembakar semangat untuk menghasilkan permulaan positif dalam kempen Eropah Asia tersebut.
Menurut Xisco, JDT sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pelbagai kemungkinan corak permainan Buriram United, termasuk ketika lawan menyerang, bertahan secara mendalam atau menggunakan taktikal serangan balas.
“Kami sudah bersedia untuk semua senario. Jika mereka menyerang, bertahan dan melakukan serangan balas atau bertahan secara mendalam, kami sudah membuat persiapan dengan baik.
“Esok kami akan tunjukkan apa yang sudah kami lakukan dalam latihan,” katanya.
Dalam pada itu, Xisco mengakui perubahan jurulatih Buriram United tidak banyak mengubah struktur permainan pasukan berkenaan dalam tempoh singkat.
“Sudah lama kami mengikuti Buriram. Mereka baru menukar jurulatih dan mungkin ada beberapa perubahan kecil, tetapi saya tidak fikir struktur mereka akan berubah sepenuhnya dalam masa yang singkat.
“Kami akan terus menggunakan analisis yang sudah dibuat sebelum ini dan perlu kekal fokus, terutama pada minit awal sekiranya terdapat perubahan daripada apa yang kami jangkakan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada terhadap ancaman serangan balas Buriram yang mampu menghukum kesilapan kecil.
Sementara itu, pemain JDT, Eddy Israfilov memberi jaminan akan memberikan aksi 100 peratus sekiranya diberi kepercayaan untuk beraksi dalam perlawanan tersebut.
“Esok kita akan lihat apa yang diputuskan jurulatih. Saya bersedia dan jika diturunkan, saya akan memberikan 100 peratus.
“Saya mengenali pasukan ini dengan baik dan saya menjangkakan hari yang baik buat kami,” katanya.
JDT akan melayan kunjungan Buriram United pada aksi pembukaan Liga ACLE 2026/27 Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, esok. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
