VIENTIANE – Skuad Harimau Malaya menepati ramalan apabila meraih tiga mata berharga selepas menundukkan Laos 3-0 dalam aksi Kumpulan F saingan kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Vientiane malam tadi.
Pengendali negara, Peter Cklamovski berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buahnya yang disifatkan bermain penuh semangat dan disiplin biarpun beraksi di padang yang kurang sempurna.
“Perlawanan malam ini untuk rakyat Malaysia. Kami mahu memberi harapan dan inspirasi kepada mereka melalui cara kami bermain bola sepak,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Jurulatih kelahiran Australia itu turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong tegar Harimau Malaya, termasuk Ultras Malaya dan penyokong yang hadir ke stadium.
“Saya bangga dengan semua pemain. Mereka menunjukkan semangat, komitmen dan disiplin tinggi untuk negara. Penyokong yang datang memberi tenaga besar kepada kami dan saya pasti jutaan rakyat di rumah juga dapat melihat semangat itu,” katanya.
Mengulas keadaan padang yang tidak rata, Peter mengakui ia menyukarkan rentak permainan namun memuji keupayaan pemain menyesuaikan diri dengan cepat.
“Keadaan padang agak mencabar, tetapi sebenarnya lebih baik daripada kebanyakan padang dalam Liga Super. Pemain berjaya mengawal permainan dengan baik dan mencipta banyak peluang,” ujarnya.
Dalam masa sama, Peter turut mempertahankan peranan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai tunjang utama kemajuan bola sepak negara.
“Daripada apa yang saya dengar, ada banyak suara negatif terhadap TMJ, dan itu tidak adil serta tidak berasas. Baginda seorang pemimpin yang mempunyai visi jauh ke hadapan, dan tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah lama berkubur.
"Siapa yang mendapatkan peruntukan daripada Perdana Menteri untuk sokongan kerajaan? Itu TMJ, bukan FAM. Siapa yang berusaha menaikkan taraf bola sepak negara? TMJ juga.
"Siapa yang menguruskan penerbangan sewa khas untuk kami tiba di sini secara profesional, membuat persiapan rapi untuk perlawanan sukar, dan kemudian sejam selepas tamat aksi, terus berlepas pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan khas? Semua itu diuruskan dan diluluskan oleh TMJ.
"Sokongan yang baginda berikan membolehkan kami beraksi pada tahap terbaik dan profesional sepenuhnya. Semua itu adalah hasil usaha TMJ," katanya.
Dengan kemenangan itu, Harimau Malaya kini mengukuhkan kedudukan dalam saingan Kumpulan F dan bakal berdepan cabaran lebih getir dalam aksi seterusnya. - DETIK MALAYSIA