KUALA LUMPUR – Tindakan pantas sekumpulan pelajar Kejururawatan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu membantu pasangan warga emas yang cedera akibat kemalangan di Gua Musang mendapat pujian daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan spontan pelajar-pelajar berkenaan menunjukkan nilai ihsan, keprihatinan dan semangat kemanusiaan tinggi yang menjadi kebanggaan seluruh warga Mara.
“Bangga saya dengan pelajar-pelajar KPTM Kota Bharu yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berhati mulia. Mereka sanggup membantu sedaya upaya pasangan warga emas yang mengalami kecederaan serius selepas kereta dinaiki dilanggar lori,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila bas yang dinaiki pelajar terbabit secara kebetulan berhenti di lokasi kemalangan di Gua Musang.
Menyedari situasi kecemasan tersebut, kumpulan pelajar terbabit segera meminta pemandu bas berhenti sebelum memberikan bantuan awal berdasarkan ilmu dan kemahiran kejururawatan yang mereka pelajari.
“Saya sendiri sempat membuat panggilan video dengan mereka selepas kejadian bagi menyampaikan ucapan tahniah dan rasa bangga saya secara peribadi,” katanya.
Tambahnya, tindakan mereka wajar dijadikan contoh teladan buat semua pelajar Mara, khususnya dalam mengamalkan nilai kemanusiaan dan profesionalisme dalam bidang masing-masing.
“Sesungguhnya kalian #GenMara yang menjadi kebanggaan seluruh warga KPTM dan Mara,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - DR ASYRAF WAJDI DUSUKI