KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mahu meneruskan momentum positif dari San Marino apabila menyasarkan keputusan lebih baik pada Grand Prix (GP) Austria di Red Bull Ring, hujung minggu ini.
Pelumba berusia 19 tahun itu berharap dapat mengelak penalti grid yang menjejaskan perlumbaan di San Marino sebelum ini, sekali gus memburu kedudukan permulaan dalam kelompok hadapan.
Hakim Danish sebelum ini mempamerkan aksi kebangkitan menarik di GP San Marino apabila memintas 13 pelumba selepas bermula di petak ke-25 untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.
Keputusan itu turut membuktikan kemampuan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi berkenaan untuk bersaing dengan kelompok hadapan Moto3 apabila keadaan memihak kepadanya.
Menghadapi cabaran berbeza di Red Bull Ring yang terkenal dengan laluan lurus panjang serta kombinasi selekoh teknikal, Hakim Danish kini memberi tumpuan untuk mendapatkan tetapan jentera terbaik seawal sesi latihan bebas.
Pelumba yang juga anak didik bekas pelumba Grand Prix Malaysia, Zulfahmi Khairuddin itu menyasarkan untuk layak secara automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2) dan mengelak daripada tersingkir pada peringkat awal.
Pasukannya turut memberi tumpuan kepada setiap sesi latihan bagi memperhalusi tetapan jentera selain meningkatkan keyakinan serta rentak perlumbaan Hakim Danish menjelang sesi kelayakan.
Dengan lapan pusingan masih berbaki dalam saingan musim 2026, Hakim Danish mahu memanfaatkan setiap sesi daripada kelayakan sehingga perlumbaan bagi kembali mencabar podium dan memperkukuh kedudukannya dalam carta kejuaraan dunia.
Mengulas mengenai pengalamannya di Red Bull Ring, Hakim Danish berkata pengetahuan terdahulu mengenai litar berkenaan memberi kelebihan kepadanya.
“Saya rasa pengalaman sebelum ini berlumba di Red Bull Ring banyak membantu kerana saya sudah mempunyai gambaran yang baik mengenai karakter litar dan perkara yang perlu diberi perhatian.
“Bagaimanapun, kali ini berbeza kerana kami berlumba dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dan saingannya sengit. Jadi, saya perlu menyesuaikan diri dengan jentera dan keadaan perlumbaan semasa,” katanya.
Hakim Danish turut mengakui aksi di Misano meningkatkan keyakinannya menjelang perlumbaan di Austria.
“Selepas perlumbaan di Misano, saya berasa lebih yakin dan keserasian saya dengan jentera juga bertambah baik.
“Jadi, saya mahu membawa momentum itu ke Austria dan cuba mendapatkan persediaan lebih baik bermula daripada sesi latihan bebas,” katanya.
Mengenai sasaran hujung minggu ini, Hakim Danish berkata konsistensi menjadi keutamaan bagi memastikan kedudukan grid tidak terjejas.
“Fokus utama saya adalah melalui setiap sesi secara konsisten, mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan kedudukan grid dan mendapatkan tempat permulaan yang baik.
“Saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam perlumbaan dan mengutip sebanyak mungkin mata bagi membantu memperbaiki kedudukan saya dalam kejuaraan,” katanya.
Hakim Danish dan pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi akan memulakan sesi latihan di Red Bull Ring hujung minggu ini dengan misi menterjemahkan kedudukan kelayakan lebih baik kepada keputusan yang mampu menghasilkan mata, selain membuka peluang untuk mencabar podium di Austria. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK RACING
