JAKARTA – Semua 23 pemain Harimau Malaya disahkan cergas dan bersedia diturunkan bagi aksi pembukaan FIFA ASEAN Cup 2026 menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, hari ini.
Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe berkata, kesemua pemain berada dalam keadaan baik selepas beberapa perubahan terpaksa dilakukan terhadap senarai skuad pada saat akhir sebelum berlepas ke Jakarta.
“Semua 23 pemain tersedia untuk perlawanan esok. Kami sangat gembira kerana semua pemain bersama.
“Malangnya pada hari-hari terakhir, kami terpaksa menukar tiga pemain. Sudah tentu, kami mempunyai 23 pemain ini untuk perlawanan esok,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan rasmi di Jakarta hari ini.
Tan Cheng Hoe yang hadir bersama kapten, Dion Cools turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang mudah Bangladesh walaupun Malaysia dianggap sebagai pasukan pilihan.
Katanya, Bangladesh sudah membuat persiapan rapi dan perlawanan pembukaan dalam mana-mana kejohanan sentiasa hadir dengan cabaran tersendiri.
“Kami perlu menghormati Bangladesh. Walaupun mereka sudah membuat persiapan dengan baik, kami mahu mendapatkan keputusan yang baik untuk perlawanan hari ini.
“Kami tahu ia perlawanan pertama yang sangat sukar, seperti dalam mana-mana pertandingan, tetapi kami sudah bersedia,” katanya.
Mengulas sasaran Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan yang menyifatkan Harimau Malaya mampu mara ke final, Tan Cheng Hoe menyambut kenyataan itu sebagai satu cabaran kepada pasukannya.
Menurutnya, fokus ketika ini adalah kepada perlawanan pertama sebelum memikirkan perjalanan skuad dalam kejohanan berkenaan.
“Kami menganggapnya sebagai satu cabaran. Pada masa sama, kami benar-benar fokus kepada perlawanan pertama ini.
“Kami menerimanya sebagai cabaran bersama presiden baharu dan para pemain juga begitu teruja untuk menghadapi penampilan pertama Malaysia dalam kejohanan FIFA yang baharu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Tan Cheng Hoe enggan terlalu memikirkan pertemuan dengan tuan rumah Indonesia yang menjadi aksi kedua Malaysia dalam peringkat kumpulan.
Sebaliknya, beliau mahu anak buahnya memberikan sepenuh tumpuan kepada Bangladesh terlebih dahulu sebelum menilai perkembangan pasukan berdasarkan keputusan yang diraih.
“Fokus saya adalah perlawanan esok. Selepas itu, kita akan lihat bagaimana perkembangan dan keputusan yang dicapai.
“Bermain menentang Indonesia sentiasa menjadi perlawanan yang menarik. Saya pasti dalam kumpulan ini, Indonesia menjadi antara pasukan pilihan kerana mereka mempunyai pemain terbaik yang beraksi di Eropah dan luar negara.
“Kami juga bersedia untuk perlawanan menentang Indonesia, tetapi sudah pasti fokus kami adalah kepada perlawanan hari ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
