Raja Isa
KUALA LUMPUR – Jurulatih profesional dari Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, meluahkan rasa terkejut selepas menyaksikan aksi pasukan Bangladesh dalam saingan Piala Asia.
Menurutnya, pasukan yang hadir dengan gelaran ‘Royal Bengal Tigers’ itu seolah-olah mempamerkan aksi yang jauh berbeza sehingga lebih menyerupai ‘Bengal Cats’.
Beliau berkata, corak permainan yang dipamerkan Bangladesh ketika ini juga menimbulkan persoalan sama ada pasukan terbaik dalam liga tempatan mereka mampu beraksi lebih baik berbanding apa yang ditunjukkan di pentas antarabangsa.
“Dalam bola sepak, jurulatih tidak boleh hanya memberi fokus kepada pasukan semata-mata, sebaliknya perlu memahami serta memberi perhatian kepada mentaliti pemain.
“Jurulatih juga perlu mampu menyesuaikan diri dengan budaya negara berkenaan. Jika gagal berbuat demikian, pasukan akan berdepan kesukaran,” katanya.
Raja Isa yang pernah membimbing Muktijoddha Sangsad Krira Chakra pada 2022 dan 2023 berkata, pengalamannya sepanjang berada di Bangladesh menyebabkan beliau memahami selok-belok bola sepak serta budaya negara itu.
Justeru, beliau meluahkan rasa kesal melihat perkembangan bola sepak Bangladesh yang didakwa semakin menurun.
“Amat mengecewakan apabila bola sepak Bangladesh semakin hari semakin menuju ke arah graf yang menurun akibat kekurangan visi,” katanya. – DETIK MALAYSIA
