KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, mengucapkan selamat maju jaya kepada Kontinjen Pekak Malaysia yang akan membawa cabaran negara di temasya Asia Pacific Deaf Multi-Sports Championship yang akan berlangsung di Pulau Pinang.
Beliau berkata penyertaan kontinjen negara di kejohanan berkenaan merupakan platform penting buat atlet pekak Malaysia untuk mempamerkan kemampuan, memberikan prestasi terbaik serta mengharumkan nama negara di pentas sukan serantau.
“Selamat maju jaya kepada semua atlet Kontinjen Pekak Malaysia. Saya berharap para atlet dapat membuat persiapan sebaik mungkin, beraksi dengan penuh keyakinan dan memberikan yang terbaik sepanjang kejohanan,” katanya.
Tambahnya lagi, sokongan kepada atlet pekak negara amat penting bagi menyuntik semangat dan keyakinan mereka untuk beraksi dengan penuh dedikasi selain memastikan usaha pembangunan sukan pekak terus mendapat perhatian.
Tengku Zafrul turut mengalu-alukan kehadiran semua kontinjen dari negara-negara rantau Asia Pasifik yang akan berkampung ke Pulau Pinang bagi menyertai kejohanan tersebut.
“Kehadiran atlet, jurulatih, pegawai pasukan dan wakil delegasi antarabangsa bukan sahaja akan menyemarakkan persaingan sihat, malah membuka ruang untuk mengeratkan hubungan persahabatan serta memperkukuh kerjasama dalam pembangunan sukan pekak di rantau ini,” katanya.
Pada Selasa, Tengku Zafrul menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) yang diketuai Presidennya, Ong Shin Ruenn.
Delegasi turut disertai Setiausaha Agung MSDeaf, Kamarzaman Harun; Penolong Setiausaha Agung MSDeaf, Mohamad Nazrul Azwa Zulkipply; pemain badminton pekak negara, Edmund Teo Seng Keong dan Boon Wei Ying; serta jurulatih Sabrina Chong Sook Chin.
Ong berkata kunjungan hormat tersebut menjadi peluang untuk MSDeaf berkongsi persiapan kontinjen serta mendapatkan sokongan terhadap usaha pembangunan sukan pekak di Malaysia.
“Bagi pihak MSDeaf, kami amat menghargai sokongan dan perhatian yang diberikan terhadap atlet pekak negara.
“Asia Pacific Deaf Multi-Sports Championship merupakan platform penting untuk atlet kita menguji kemampuan, mendapatkan pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa dan membawa nama Malaysia dengan penuh kebanggaan,” katanya.
Beliau berkata MSDeaf berharap kejohanan itu bukan sahaja berlangsung dengan lancar, malah menjadi medan untuk memperkukuh jaringan diantara persatuan, atlet, jurulatih dan pegawai sukan pekak.
“Kami berharap kejohanan ini dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan pekak di rantau Asia Pasifik, di samping membuka lebih banyak peluang kepada atlet untuk berkembang dan mencapai prestasi lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Kejohanan yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 10 Oktober 2026 itu akan mempertandingkan enam sukan iaitu olahraga, badminton, catur, boling, ping pong dan orienteering.
Temasya berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari 34 negara di rantau Asia Pasifik, sekali gus menjadi platform besar untuk atlet pekak dari pelbagai negara bersaing, berkongsi pengalaman serta mengukuhkan hubungan dalam komuniti sukan pekak. – DETIK MALAYSIA
