JAKARTA – Pemain tengah Harimau Malaya, Nooa Laine mengakui bukan mudah untuk memecahkan benteng pertahanan Indonesia ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi FIFA ASEAN Cup 2026, malam tadi.
Laine berkata, Malaysia memulakan perlawanan dengan baik apabila berjaya mencipta beberapa peluang sebelum kad merah yang diterima pemain Indonesia, Thom Haye, mengubah rentak permainan.
“Saya fikir kami memulakan permainan dengan baik. Kami benar-benar tajam dan berjaya mencipta beberapa peluang.
“Kemudian kad merah dilayangkan dan sudah tentu ia mengubah dinamik permainan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Jakarta.
Menurutnya, Indonesia berjaya bertahan dengan baik menerusi pendekatan pertahanan secara mendalam yang menyukarkan Malaysia untuk mencari ruang bagi menghasilkan jaringan.
“Saya fikir Indonesia melakukan tugas dengan baik untuk bertahan secara blok rendah dan ia tidak pernah mudah untuk memecahkan benteng seperti itu.
“Pertahanan mereka bertahan dengan baik. Kami mendapat peluang, tetapi tidak berjaya menghasilkan jaringan,” katanya.
Laine berkata, situasi itu menyaksikan Malaysia terus berusaha mencari gol terutama pada separuh masa kedua ketika Indonesia beraksi dengan 10 pemain.
Bagaimanapun, barisan pertahanan tuan rumah kekal berdisiplin dan berjaya mengekang percubaan Harimau Malaya sehingga tamat perlawanan.
Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia kekal belum tewas dan berada di tangga teratas Kumpulan A berdasarkan perbezaan jaringan.
Harimau Malaya selepas ini akan berdepan Singapura dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Bandung bagi menentukan pasukan yang mara ke final pada 5 Oktober di Gelora Bung Karno. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
