JAKARTA – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Indonesia dalam aksi FIFA ASEAN Cup 2026, malam tadi.
Beliau turut memuji persembahan pemain yang dianggap berjaya menunjukkan disiplin dan karakter ketika berdepan Indonesia di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain. Mereka menunjukkan persembahan hebat, disiplin yang baik dan karakter dalam perlawanan.
“Kami tahu betapa kuatnya pasukan Indonesia, tetapi pujian harus diberikan kepada pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Jakarta.
Cheng Hoe berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan keputusan berkenaan meskipun Harimau Malaya mempunyai beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan.
“Sebagai jurulatih, saya agak berpuas hati dengan keputusan ini. Sudah tentu kami mencipta beberapa peluang dan terlepas beberapa peluang.
“Kami hampir mencipta suasana seolah-olah kami mampu menewaskan Indonesia di laman mereka sendiri. Namun, sudah tentu masih ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.
Menurutnya, aksi menentang Indonesia turut memberi peluang kepada pemain merasai suasana pertandingan yang sengit selain menguji kemampuan mereka berdepan pasukan yang berkualiti.
Pada babak kedua, Cheng Hoe menyifatkan Malaysia berjaya mengawal permainan dan mencipta beberapa peluang meskipun Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Thom Haye dilayangkan kad merah.
“Kadang-kadang dalam bola sepak, agak sukar untuk bermain menentang 10 pemain kerana mereka mengubah pendekatan taktikal dengan bertahan lebih ke dalam.
“Namun, saya tetap sangat gembira melihat pemain bermain seperti yang kami mahukan, tenang dan mempunyai beberapa peluang baik untuk menjaringkan gol,” katanya.
Mengulas pertukaran pemain dengan memasukkan Paulo Josue dan Fergus Tierney, Cheng Hoe berkata perubahan itu dibuat bagi membolehkan Malaysia bermain lebih terus dalam usaha mendapatkan gol dengan lebih pantas.
Katanya, keadaan fizikal pemain juga akan dinilai selepas mengharungi dua perlawanan sengit sebelum pasukan membuat persiapan menghadapi Singapura.
“Keputusan untuk menukar pemain lebih kepada usaha mendapatkan gol dengan lebih cepat dan bukan hanya menguasai bahagian tengah.
“Faisal Halim bermain dengan baik dan kami akan melihat keadaan fizikalnya. Kami bersedia untuk menentang Singapura,” katanya.
Cheng Hoe turut memuji disiplin pertahanan Indonesia yang disifatkannya sangat tersusun dan menyukarkan Harimau Malaya untuk mencari ruang bagi menghasilkan jaringan.
“Kami tahu Indonesia bukan sahaja mempunyai pemain pertahanan yang baik, malah mereka juga mempunyai pemain serangan berkualiti.
“Pada babak kedua, kami dapat melihat pertahanan mereka sangat berdisiplin dan tersusun. Amat sukar untuk kami memecahkan benteng mereka bagi mendapatkan gol,” katanya.
Mengulas pengaruh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam skuad Harimau Malaya, Cheng Hoe mengakui keserasian antara pemain terbabit memberi kelebihan kepada pasukan.
“Dengan kelebihan pemain JDT yang bermain bersama, keserasian dan persefahaman itu benar-benar memberikan kelebihan kepada kami.
“Namun, bola sepak memerlukan kami bermain sebagai satu pasukan dan bukan hanya bergantung kepada pemain JDT. Saya memberi fokus kepada prestasi pasukan,” katanya.
Mengulas aksi terakhir Kumpulan A menentang Singapura di Bandung, Cheng Hoe mengakui perlawanan itu juga bakal menjadi cabaran sukar buat Harimau Malaya.
“Kami memperoleh pengalaman, keyakinan dan banyak momen sebagai sebuah pasukan daripada perlawanan ini.
“Kami masih mempunyai perlawanan sukar menentang Singapura. Seperti yang kami katakan, ia adalah derbi Causeway dan kami tahu perlawanan menentang Singapura akan menjadi satu lagi aksi yang sukar.
“Namun, saya yakin selepas memperoleh keputusan baik menentang Indonesia, kami sudah bersedia,” katanya.
Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui perjalanan ke Bandung selepas mengharungi jadual padat turut memerlukan pengurusan pemulihan yang baik, namun perkara itu tidak akan dijadikan alasan.
“Kami juga melalui tempoh yang sukar kerana perlu melakukan perjalanan ke Bandung. Ia bukan alasan, tetapi dalam bola sepak, anda memerlukan pemulihan dan persiapan yang baik.
“Kami bersedia untuk menentang Singapura,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
