KUALA LUMPUR – Tiga tahun selepas tercetusnya tragedi Gaza pada 7 Oktober 2023, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin yang masih berdepan kemusnahan, perpindahan, kekurangan keperluan asas dan risiko keselamatan.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, 7 Oktober 2026 perlu dijadikan peringatan kemanusiaan, kesedaran ummah dan tuntutan pertanggungjawaban antarabangsa.
Menurut beliau, walaupun berlaku perubahan keadaan selepas pengumuman gencatan senjata pada Oktober 2025, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September 2026 menunjukkan kehidupan awam di Gaza masih berdepan serangan, kerosakan infrastruktur, perpindahan serta kekurangan bekalan perubatan, air dan sanitasi.
“Tiga tahun telah berlalu, tetapi Gaza tidak boleh menjadi sejarah yang dilupakan. Kita mengingati mangsa, berdiri bersama yang terselamat, membantu mereka yang memerlukan dan terus menuntut dunia mempertahankan kemanusiaan.” katanya dalam kenyataan hari ini.
MAPIM berkata, pada 25 September lalu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan 94 peratus penduduk Gaza masih memerlukan bantuan tempat perlindungan dan keperluan asas.
Menurutnya, sekitar 65 peratus isi rumah pula masih tinggal di khemah atau tempat perlindungan sementara, manakala 451 lokasi perpindahan dikenal pasti berisiko tinggi banjir yang menempatkan kira-kira 464,402 orang menjelang musim hujan.
Krisis itu turut memberi kesan berat kepada kanak-kanak apabila UNICEF melaporkan kira-kira 1.9 juta daripada 2.1 juta penduduk Gaza telah mengalami perpindahan, selain perkhidmatan kesihatan, air, sanitasi dan perlindungan kanak-kanak terus terganggu.
Sehubungan itu, MAPIM menggariskan lima mesej utama menerusi kempen ‘Tiga Tahun Gaza: Jangan Biarkan Dunia Melupakan’, iaitu mengingati mangsa, kemusnahan, mangsa yang terselamat, pertanggungjawaban serta tindakan terhadap Gaza.
MAPIM berkata, masyarakat perlu mengingati setiap nyawa yang terkorban, khususnya kanak-kanak, wanita, warga emas, petugas kesihatan, wartawan, pekerja kemanusiaan serta keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan orang tersayang.
Katanya, kemusnahan rumah, sekolah, hospital, masjid, sistem air, sanitasi dan kemudahan awam pula meninggalkan kesan yang akan dirasai generasi Palestin untuk tempoh panjang.
“Penderitaan orang awam tidak boleh dinormalisasikan. Prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan perlindungan orang awam mesti dihormati, manakala tuntutan pertanggungjawaban perlu terus berada dalam agenda masyarakat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM merancang program kempen selama seminggu bermula 1 hingga 7 Oktober ini, termasuk Launch Remember Gaza, Gaza Memory Day, Gaza Forum, Gaza Winter Humanitarian Aid, Mosque for Gaza dan Global Solidarity Night.
Kempen itu akan memuncak pada 7 Oktober menerusi National Gaza Memorial Day – ‘Remember Gaza: 3 Years of Genocide’, yang dicadangkan merangkumi doa untuk mangsa, bacaan nama dan kisah mangsa, ucapan pemimpin NGO, kesaksian rakyat Palestin, kutipan dana serta seruan kepada kerajaan dan masyarakat antarabangsa.
MAPIM turut mencadangkan deklarasi solidariti Malaysia untuk Palestin, simbolik lilin atau lampu sebagai tanda mengenang mangsa serta doa khas selepas Maghrib atau Isyak di masjid seluruh negara.
Menurut MAPIM, peringatan terhadap Gaza perlu diterjemahkan kepada tindakan termasuk bantuan kemanusiaan, sokongan musim sejuk, pendidikan, pemulihan kesihatan, pembinaan semula dan advokasi antarabangsa bagi mempertahankan hak rakyat Palestin. – DETIK MALAYSIA
