JOHOR BAHRU – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya menjadikan kemenangan mereka sebagai amanah untuk mentadbir dengan penuh integriti, bukannya sekadar meraikan kejayaan politik.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kemenangan yang diraih merupakan mandat besar daripada rakyat yang perlu dipikul dengan kejujuran, ketelusan dan rasa tanggungjawab.
Katanya, sebagai sebuah pertubuhan bukan berpihak, MCW menghormati keputusan rakyat tanpa mengira parti politik yang memenangi pilihan raya.
“Ahli-ahli MCW datang daripada pelbagai latar belakang dan aliran pemikiran politik, namun disatukan oleh komitmen memperjuangkan integriti, tadbir urus yang baik serta pembanterasan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua wakil rakyat yang dipilih perlu menjadikan Johor sebagai model pentadbiran berintegriti yang boleh dicontohi negeri-negeri lain.
Beliau berkata, setiap keputusan kerajaan termasuk perbelanjaan awam, proses perolehan, pelantikan dan pemberian projek mesti dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti serta bebas daripada unsur rasuah dan salah guna kuasa.
“Johor mempunyai kelebihan sebagai negeri yang berjiran dengan Singapura yang sering diiktiraf antara negara paling bersih daripada rasuah di dunia.
“Walaupun sistem politik dan pentadbiran berbeza, budaya pematuhan undang-undang, kecekapan perkhidmatan awam dan sikap tidak bertolak ansur terhadap rasuah wajar dijadikan contoh serta disesuaikan dengan konteks negara ini,” katanya.
Jais berkata, MCW berharap semua wakil rakyat yang diberi mandat akan membuktikan bahawa politik merupakan wadah untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya jalan memperoleh keuntungan peribadi.
“Rakyat telah memberikan mandat. Kini tiba masanya para pemimpin membalasnya dengan integriti,” katanya. – DETIK MALAYSIA
