EAST RUTHERFORD – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjelaskan gol penyamaan England ketika menentang Norway dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026 adalah sah selepas teknologi Connected Ball mengesahkan bola tidak menyentuh kabel yang tergantung di atas padang.
Penjelasan itu dibuat susulan timbul persoalan sama ada bola telah terkena kabel ketika berada di udara sebelum bermulanya gerakan yang membawa kepada jaringan penyamaan England pada masa kecederaan babak pertama (45+2).
Menurut FIFA, data daripada sensor berketepatan tinggi yang dipasang di dalam bola rasmi perlawanan tidak merekodkan sebarang isyarat sentuhan ketika bola berada di udara.
FIFA menjelaskan, sekiranya bola menyentuh objek luar seperti kabel, sensor akan mengesan perubahan pada data yang dikenali sebagai “heartbeat of the ball”. Namun, tiada sebarang bacaan sedemikian direkodkan.
“Tiada bukti teknikal menunjukkan bola menyentuh kabel di atas padang atau trajektorinya berubah akibat sentuhan dengan objek luar,” menurut kenyataan FIFA.
Teknologi Connected Ball digunakan sepanjang Piala Dunia 2026 bagi membantu pegawai perlawanan menilai insiden penting dengan menyediakan data tambahan mengenai pergerakan bola dan setiap sentuhan yang berlaku.
Sehubungan itu, FIFA menegaskan keputusan pengadil untuk membenarkan permainan diteruskan serta mengesahkan gol penyamaan England adalah tepat.
England kemudian bangkit menewaskan Norway 2-1 selepas masa tambahan menerusi jaringan kemenangan Jude Bellingham untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia 2026. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIFA
