JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan rasa syukur atas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 yang menyaksikan gabungan itu berjaya meraih 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, kemenangan tersebut bukanlah hasil kekuatan parti semata-mata, sebaliknya berlaku dengan izin serta pertolongan Allah SWT selain hasil pengorbanan seluruh jentera parti sepanjang tempoh berkempen.
“Asas kemenangan ini ialah amanah yang mesti dipikul sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat. Tiada masa untuk mendabik dada atau berasa terlalu selesa dengan mandat yang diberikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, penghargaan turut diberikan kepada seluruh jentera UMNO dan BN di semua peringkat termasuk Wanita, Pemuda, Puteri, bahagian, cawangan, petugas serta sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang kempen.
Katanya, beliau sendiri menyaksikan kesungguhan jentera parti yang sanggup berkorban masa bersama keluarga serta mengharungi pelbagai cabaran bagi memastikan kemenangan BN dan kesinambungan pembangunan Johor.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi atas kepimpinan serta kebersamaan beliau sepanjang menghadapi PRN Johor.
Beliau turut memuji kepimpinan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang disifatkan komited membawa agenda kemajuan negeri serta menyantuni rakyat.
“Asyraf Wajdi turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor atas mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada BN.
“Beliau menegaskan BN akan terus membalas kepercayaan itu dengan kerja keras, khidmat bersungguh-sungguh serta komitmen yang tidak berbelah bahagi demi kesejahteraan rakyat.
Pada masa sama, beliau menyifatkan seluruh jentera BN dari seluruh negara yang berkampung di Johor sepanjang kempen sebagai wira dan wirawati di sebalik kemenangan tersebut.
Beliau berharap segala pengorbanan mereka diterima sebagai amal soleh serta menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh kestabilan dan memacu kemajuan Johor. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
