KANSAS CITY – Juara bertahan, Argentina menempah tiket ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas menundukkan Switzerland 3-1 menerusi masa tambahan dalam aksi suku akhir yang penuh dramatik awal pagi tadi.
Argentina bermula garang apabila Alexis Mac Allister menanduk masuk sepakan penjuru Lionel Messi pada minit ke-10 untuk meletakkan juara bertahan itu di depan.
Switzerland bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Dan Ndoye pada minit ke-67, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Harapan Switzerland untuk mencipta sejarah semakin sukar apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Breel Embolo dilayangkan kad kuning kedua pada penghujung perlawanan.
Ketika aksi dilihat bakal berakhir dengan penentuan sepakan penalti, Julian Alvarez muncul wira Argentina apabila meledak gol pendahuluan pada masa tambahan untuk mengembalikan kelebihan buat skuad kendalian Lionel Scaloni.
Switzerland kemudian mengasak habis-habisan bagi mencari gol penyamaan, namun tindakan itu membuka ruang kepada Argentina untuk melakukan serangan balas sebelum Lautaro Martinez menyempurnakan peluang pada penghujung masa tambahan, sekali gus mengesahkan kemenangan 3-1.
Kemenangan itu memastikan Argentina meneruskan misi mempertahankan kejuaraan dunia dan bakal membuat perhitungan dengan England pada aksi separuh akhir selepas The Three Lions menewaskan Norway 2-1. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Getty
