KUALA TERENGGANU – Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK) berpeluang memperkenalkan program homestay, warisan budaya dan identiti Terengganu kepada delegasi Kesatuan Eropah (EU) serta kedutaan negara anggota EU menerusi satu majlis makan tengah hari yang berlangsung di Kampung Budaya Muzium Terengganu pada 7 Julai lalu.
KHTK dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd. Ghadas atas jemputan menghadiri program Luncheon with Representatives from the Delegation of the European Union to Malaysia and EU Member State Embassies.
Menurut kenyataan itu, majlis berkenaan menjadi platform bagi dialog tidak formal, menjalinkan rangkaian kerjasama serta membincangkan perkara yang menjadi kepentingan bersama antara KHTK, Kesatuan Eropah dan kedutaan negara anggota EU.

Pada majlis sama, KHTK turut menyampaikan plak penghargaan kepada Rafael Daerr selaku wakil ketua delegasi yang hadir.
KHTK berharap penyertaan dalam program itu dapat membuka lebih banyak peluang untuk memperkenalkan produk pelancongan homestay, warisan budaya serta identiti negeri Terengganu kepada masyarakat antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
