SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak mengabaikan krisis kemanusiaan di Gaza, Tebing Barat yang diduduki, Masjid Al-Aqsa dan Lubnan susulan peningkatan ketegangan membabitkan Iran.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tumpuan dunia terhadap ancaman ketenteraan dan perkembangan politik melibatkan Iran tidak seharusnya mengalih perhatian daripada penderitaan rakyat Palestin dan penduduk awam di Lubnan yang masih berterusan.
Menurut beliau, Gaza terus berdepan kemusnahan besar, perpindahan penduduk dan krisis kemanusiaan, selain kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan, air bersih serta elektrik.
Katanya, di Tebing Barat pula, serbuan ketenteraan, peluasan penempatan haram, perobohan rumah dan keganasan terhadap penduduk Palestin terus meningkat.
“Masjid Al-Aqsa juga terus berdepan provokasi, sekatan dan pencerobohan yang mengancam kebebasan beragama serta kestabilan serantau.
“Pada masa sama, Lubnan masih berdepan serangan ketenteraan berulang dan pencabulan kedaulatannya yang meletakkan orang awam dalam keadaan berisiko,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, Mapim bimbang konfrontasi semasa yang melibatkan Iran akan menjadi gangguan politik sehingga menyebabkan krisis di Palestin dan Lubnan semakin terpinggir daripada perhatian masyarakat antarabangsa.
Sehubungan itu, katanya, Mapim menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperhebat usaha melindungi orang awam dan menegakkan undang-undang antarabangsa.
Selain itu, beliau berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu memperkukuh tindakan diplomatik dan bantuan kemanusiaan secara lebih terselaras.
Mapim turut menyeru kerajaan di seluruh dunia supaya tidak mengamalkan pelaksanaan undang-undang antarabangsa secara terpilih, selain menggesa pertubuhan masyarakat sivil dan institusi media terus memberi perhatian terhadap situasi di Gaza, Tebing Barat, Masjid Al-Aqsa dan Lubnan.
Menurut beliau, agensi kemanusiaan juga perlu diberikan akses tanpa sekatan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk awam yang terjejas.
“Keamanan tidak akan dapat dicapai melalui peningkatan ketenteraan, hukuman kolektif atau ancaman peperangan yang lebih besar.
“Masyarakat antarabangsa mesti menolak dasar yang menormalkan budaya bebas daripada tindakan undang-undang serta melemahkan penyelesaian secara diplomatik,” katanya. – DETIK MALAYSIA
