KUALA LUMPUR – Bintang perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mengakui pernah melalui detik paling sukar dalam kariernya sehingga terlintas untuk bersara akibat tekanan mental dan emosi yang berpanjangan.
Juara All England itu membuat pendedahan berkenaan menerusi satu kenyataan panjang yang dimuat naik di media sosialnya, menceritakan cabaran dihadapi sepanjang tahun lalu termasuk kecederaan, prestasi yang merudum, kebimbangan melampau serta hilang kawalan terhadap hala tuju kerjaya dan kehidupannya.
Menurut Zii Jia, selepas meninggalkan skuad kebangsaan, dia menyerahkan banyak urusan kehidupan dan karier profesional kepada individu yang dipercayainya supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap latihan serta pertandingan.
Bagaimanapun, ketika bergelut dengan kecederaan dan prestasi hambar, dia mula menyedari keadaan sebenar tidak seperti yang diharapkan.
“Saya berasa cemas, keliru dan benar-benar hilang arah.
“Saya sedar saya bukan sahaja berdepan kecederaan serta prestasi, malah turut bergelut dengan perasaan tidak berdaya yang telah lama terbuku,” katanya.
Menurut pemain berusia 28 tahun itu, dia akhirnya memberanikan diri untuk menyuarakan hasrat mengawal sendiri hala tuju kehidupan dan kerjaya badmintonnya.
Katanya, dia hanya mahu menentukan sendiri individu yang berada di sekelilingnya, mewujudkan persekitaran yang sesuai serta kembali menikmati permainan badminton.
“Saya hanya mahu bermain dan kembali menikmati sukan ini,” ujarnya.
Namun, usaha menyuarakan hasrat tersebut menyebabkan dia berdepan tekanan mental yang sangat besar sehingga menjejaskan kehidupan serta prestasinya di gelanggang.
“Saya menjadi takut untuk berdepan situasi tertentu dan tidak mahu kembali melalui pengalaman emosi yang sama.
“Saya sukar memberikan tumpuan ketika latihan dan hidup saya seolah-olah hilang rentak,” katanya.
Lebih menyedihkan, Zii Jia mengakui pernah terfikir untuk menamatkan kerjayanya sebagai pemain badminton.
“Ada ketika saya benar-benar berfikir sama ada saya patut bersara,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai dugaan, Zii Jia menegaskan dia tidak menyalahkan mana-mana pihak sepenuhnya kerana mengakui banyak keputusan yang dibuat adalah atas pilihannya sendiri.
“Sekiranya saya masih mahu meneruskan karier ini, saya perlu bangkit mempertahankan diri sendiri.
“Saya perlu memperjuangkan kebebasan, hak untuk membuat keputusan dan membina persekitaran yang lebih baik buat diri saya. Jika saya gagal sekali pun, sekurang-kurangnya ia adalah pilihan saya sendiri dan saya akan bertanggungjawab terhadapnya,” katanya.
Zii Jia berharap segala yang berlaku dapat ditinggalkan secara baik agar semua pihak mampu meneruskan kehidupan masing-masing.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan, penyokong serta penaja yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan walaupun ketika dirinya hilang keyakinan.
“Saya tidak tahu bagaimana masa depan saya dan berapa lama semua ini akan mengambil masa.
“Tetapi saya mahu semua tahu, saya tidak akan mudah mengalah. Walau sebanyak mana cabaran, keraguan dan kegagalan yang perlu saya tempuhi, saya akan terus berjuang sehingga saya benar-benar tidak mampu bermain lagi,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BAT
