HOHENSTEIN-ERNSTTHAL, Jerman – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menambah empat mata berharga dalam kempen Kejuaraan Dunia Moto3 2026 selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman di tempat ke-12 di Litar Sachsenring, hari ini.
Memulakan perlumbaan dari petak ketiga, Hakim Danish berdepan cabaran sengit sepanjang 23 pusingan apabila gagal mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan, terutama pada 10 pusingan awal.
Bagaimanapun, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu kekal tenang sebelum mempamerkan tunggangan konsisten untuk berada dalam kelompok 15 terbaik dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 dengan catatan masa 33 minit 19.287 saat.
Kemenangan menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte yang menamatkan perlumbaan dengan masa 33:02.690 saat.
Tempat kedua pula menjadi milik Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team yang hanya ketinggalan 0.063 saat di belakang Uriarte, manakala Matteo Bertelle dari Level Up-MTA melengkapkan kedudukan podium di tangga ketiga.
Keputusan itu hadir sehari selepas Hakim Danish mencuri tumpuan apabila mencatat masa terpantas 1:24.909 saat dalam sesi kelayakan Q2 untuk meraih petak ketiga.
Ia merupakan kali keempat pelumba berusia 18 tahun itu memulakan perlumbaan dari barisan hadapan musim ini, sekali gus membuktikan peningkatan prestasinya dalam musim sulung di pentas Kejuaraan Dunia Moto3.
Selepas mengharungi 11 pusingan, Hakim Danish kini menghuni tangga ketujuh keseluruhan kejuaraan dengan kutipan 86 mata.
Aksi Kejuaraan Dunia Moto3 kini akan berehat seketika sebelum bersambung pada Grand Prix Britain di Litar Silverstone yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
