KUALA LUMPUR – Peningkatan kandungan media sosial yang menyebarkan dakwaan palsu, video dimanipulasi, statistik rekaan dan naratif berunsur kebencian terhadap komuniti Rohingya di Malaysia perlu dipandang serius.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan itu membimbangkan kerana terdapat beberapa dakwaan tular mengenai Rohingya yang telah dinafikan sendiri oleh agensi kerajaan.
Menurutnya, laporan pada Julai 2026 turut mendokumentasikan penggunaan kandungan palsu, petikan rekaan, video diubah suai dan bahan dijana kecerdasan buatan (AI) dalam kempen maklumat yang menyasarkan komuniti berkenaan.
“Ini menimbulkan persoalan penting, adakah kita sedang berhadapan dengan penyebaran kebencian secara spontan atau terdapat rangkaian akaun yang sengaja memanipulasi sentimen masyarakat?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
MAPIM berkata, persoalan berkenaan perlu disiasat secara profesional dan berasaskan bukti.
Sebagai contoh, pada 20 Ogos lalu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan bahawa kehadiran individu yang didakwa Rohingya di premisnya tidak bermaksud mereka sedang memohon atau akan diberikan MyKad.
JPN menjelaskan pelbagai urusan pendaftaran dan dokumentasi turut melibatkan bukan warganegara.
Pada 24 September lalu pula, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mencadangkan Rohingya diberikan lesen memandu.
JPJ kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan dan tindakan terhadap kandungan terbabit yang ketika itu menerima lebih 1,800 komen serta 325 perkongsian.
“Kes-kes ini menunjukkan bagaimana dakwaan yang tidak disahkan boleh memperoleh perhatian besar sebelum pihak berkuasa sempat memberikan penjelasan,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM menegaskan pihaknya tidak membuat kesimpulan bahawa semua akaun yang menyebarkan kandungan anti-Rohingya adalah akaun palsu.
Sebaliknya, perkara itu perlu dibuktikan menerusi siasatan.
MAPIM turut merujuk pengesanan MCMC pada Februari 2026 terhadap ciri coordinated inauthentic behaviour (CIB) dalam penyebaran kandungan berunsur 3R.
Dalam kes itu, MCMC menyatakan kandungan sama disebarkan berulang kali oleh 40 akaun Facebook dan 10 akaun TikTok dalam tempoh singkat bagi memanipulasi persepsi awam.
Walaupun kes berkenaan tidak berkaitan secara khusus dengan Rohingya, MAPIM berkata kewujudan pola itu membuktikan manipulasi terkoordinasi menerusi media sosial perlu dipandang serius.
MAPIM turut menegaskan isu imigresen, dokumentasi, pekerjaan, jenayah, keselamatan, penempatan, pendidikan, kesihatan dan penguatkuasaan undang-undang membabitkan Rohingya boleh dibincangkan secara terbuka.
“Namun perbincangan dasar tidak boleh berubah menjadi kempen membenci seluruh etnik.
“Jika seorang individu melakukan kesalahan, individu tersebut hendaklah disiasat dan dihukum mengikut undang-undang.
“Tetapi seseorang tidak boleh dianggap bersalah hanya kerana dia Rohingya,” katanya.
MAPIM juga bimbang dengan kecenderungan menjadikan video pendek, gambar, komen dan hantaran media sosial sebagai ‘bukti’ sebelum kesahihannya diperiksa.
Menurutnya, dalam era AI generatif, deepfake dan manipulasi video, sesuatu kandungan boleh kelihatan meyakinkan walaupun palsu.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan khusus terhadap pola kandungan yang menyasarkan Rohingya.
Antara perkara yang dicadangkan termasuk mengenal pasti akaun palsu, kemungkinan rangkaian akaun yang menyebarkan kandungan sama secara terkoordinasi, penggunaan AI untuk menghasilkan kandungan palsu serta sumber asal bahan yang terbukti palsu.
MAPIM turut mahu kemungkinan operasi bot, penggunaan akaun luar negara serta kandungan yang memenuhi unsur kesalahan di bawah undang-undang Malaysia disiasat.
Selain itu, MAPIM mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penubuhan atau pengaktifan National Digital Hate and Disinformation Monitoring Task Force yang melibatkan MCMC, PDRM, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penerangan, pakar forensik digital, akademia dan masyarakat sivil.
MAPIM berkata mekanisme itu boleh membantu mengenal pasti lebih awal akaun palsu, CIB, disinformasi dijana AI, kempen kebencian, statistik direka, video dimanipulasi serta hasutan terhadap komuniti etnik.
Dalam pada itu, MAPIM menyeru rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan kebencian terhadap Rohingya menjadi sesuatu yang dianggap normal dalam ruang digital.
“Kita boleh berbeza pandangan mengenai dasar kerajaan, berdebat mengenai imigresen, menuntut kawalan sempadan yang lebih baik dan penguatkuasaan terhadap jenayah.
“Tetapi semua tuntutan itu mesti dilakukan dengan fakta dan keadilan,” katanya.
MAPIM turut menyeru kerajaan segera menyiasat rangkaian akaun yang menyebarkan kandungan palsu dan kebencian terhadap Rohingya serta mengenal pasti sama ada terdapat unsur CIB.
Pada masa sama, platform media sosial diseru meningkatkan tindakan terhadap akaun palsu, kandungan AI yang mengelirukan dan rangkaian yang sengaja memanipulasi sentimen awam.
MAPIM menegaskan setiap dakwaan berkaitan Rohingya yang tular perlu disemak dengan sumber rasmi sebelum dianggap sebagai fakta.
“Jangan biarkan algoritma media sosial menentukan siapa yang rakyat Malaysia patut benci.
“Keadilan mesti mendahului kebencian,” katanya. – DETIK MALAYSIA
