KUALA LUMPUR – Kebangkitan ummah dalam menghadapi krisis kemanusiaan masa kini perlu bermula dengan pengukuhan aqidah, bukan sekadar retorik atau seruan tanpa tindakan nyata.
Profesor Dr. K.H. Ageng Kamari Kasan berkata, ujian terhadap aqidah ummah perlu diterjemahkan menerusi penghayatan sebenar Rukun Islam yang mampu membentuk kekuatan Rukun Iman.
Menurut beliau, antara bentuk penghayatan yang boleh memberi kesan langsung ialah amalan infaq, zakat dan wakaf, termasuk menggerakkan sumbangan demi Masjid Al-Aqsa.
“Tidak ada ubat yang lebih mujarab bagi merawat kelemahan aqidah selain mengeluarkan harta yang kita cintai.
“Ia ibarat lemparan batu dalam ibadah melontar di Mina, iaitu tindakan melepaskan apa yang digenggam erat, membersihkan kotoran jiwa dan mengakui bahawa harta itu bukan milik mutlak kita, sebaliknya semuanya milik Allah,” katanya.
Beliau yang mewakili Multiversiti MAPIM GEMA IMAR (MMGI–UNIMEL), Universiti Islam Melaka berkata, gerakan pengukuhan ummah perlu menjadikan infaq, sedekah dan wakaf sebagai sebahagian daripada usaha menangani kelemahan masyarakat.
Katanya, pendakwah, pemimpin dan media mempunyai peranan untuk menggalakkan umat Islam menginfakkan harta serta mewakafkan kekayaan demi Al-Aqsa.
“Jadilah juru rawat dan doktor hati ummah. Keraskan seruan kepada umat untuk menginfakkan harta dan mewakafkan kekayaan demi Masjid Al-Aqsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Al-Aqsa kekal sebagai salah satu ikatan penting dalam aqidah umat Islam dan tidak seharusnya dipinggirkan.
Katanya, sumbangan kepada perjuangan tersebut boleh dimulakan dengan jumlah kecil, termasuk RM1 setiap waktu Subuh atau RM1 bagi setiap waktu solat lima kali sehari.
“Semua ini dilakukan bagi memperkukuh ikatan syahadah dalam kehidupan seharian, demi menzahirkan keimanan kepada Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah,” katanya.
Beliau turut mengaitkan Mekah, Madinah dan Al-Aqsa sebagai tiga tempat penting yang membawa dimensi berbeza dalam penghayatan tauhid dan kehidupan umat Islam.
Menurutnya, Al-Aqsa tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut fiqh, sebaliknya turut menjadi simbol ikatan aqidah dan kesedaran umat terhadap tanggungjawab mereka.
“Ketiga-tiga tempat ini iaitu Mekah, Madinah dan Al-Aqsa adalah tiga wajah tauhid yang melengkapi satu sama lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam supaya memperkukuh iman melalui pengorbanan harta dan tindakan yang nyata demi kemuliaan Al-Aqsa.
“Bersatulah, keluarkanlah harta, teguhkanlah iman dan perjuangkanlah kemuliaan Al-Aqsa.
“Inilah jalan kebangkitan ummah, bukan dengan kata tetapi dengan amal; bukan dengan retorik tetapi dengan pengorbanan,” katanya.
Deklarasi tersebut turut disandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh…” – DETIK MALAYSIA
