ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super Malaysia 2026/27 apabila membelasah Star City 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva menjadi watak utama kemenangan besar itu apabila meledak hatrik termasuk satu gol menerusi sepakan penalti.
JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi Bergson sebelum Marcos Guilherme menggandakan kelebihan 10 minit kemudian.
Bergson kemudian mencetak gol keduanya pada minit ke-35 untuk menjadikan kedudukan 3-0, sebelum Kevin Medina dan Shahab Zahedi masing-masing menambah satu gol bagi memastikan JDT mendahului 5-0 pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, JDT terus menguasai permainan dan tidak memberi ruang kepada Star City untuk bangkit.
Pemain gantian, Carlos Akapo menjaringkan gol keenam pada minit ke-68 selepas menyudahkan hantaran Jairo da Silva.
Bergson melengkapkan hatrik pada minit ke-77 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Star City, Anwar Ibrahim di dalam kotak penalti.
Kemenangan itu menyaksikan JDT meneruskan persembahan menyerang yang ampuh selepas turut mencatat kemenangan besar ke atas Kelantan Red Warrior FC sebelum ini.
Bergson sekali lagi membuktikan ketajamannya di depan gawang apabila menjadi pencetus utama kemenangan skuad kendalian Xisco Muñoz itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL
