KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Hakim Danish berjaya mengesahkan tempat ke-13 di grid permulaan Moto3 Grand Prix (GP) Aragon selepas mencatat peningkatan ketara dalam sesi kelayakan di MotorLand Aragón, Sepanyol, semalam.
Mewakili pasukan AEON Credit – MT Helmets – MSI dengan jentera KTM, Hakim Danish akan memulakan perlumbaan dari barisan kelima pada perlumbaan Moto3 esok.
Pelumba berusia 18 tahun itu mencatat masa terpantas 1 minit 57.052 saat pada pusingan keenam dan terakhir sesi kelayakan Q2 untuk berada di kedudukan ke-13.
Catatan berkenaan menyaksikan Hakim Danish memperbaiki masa sesi latihan pagi selepas merekodkan 1:58.922 saat pada pusingan keempat sesi latihan bebas kedua (FP2).
Dalam FP2, Hakim Danish menamatkan sesi gabungan di tempat ke-21 dengan ketinggalan 1.663 saat daripada pelumba terpantas, David Almansa yang mencatat 1:57.259 saat.
Namun, dia bangkit dalam sesi Q2 selama 15 minit apabila berjaya memotong hampir dua saat daripada catatan terbaiknya pada sebelah pagi.
Catatan 1:57.052 saat itu meletakkannya 0.705 saat di belakang Almansa yang meraih petak pertama dengan masa 1:56.347 saat.
Jentera KTM tunggangan Hakim Danish turut merekodkan kelajuan maksimum 240.2 kilometer sejam (km/j), iaitu antara catatan terpantas dalam sesi Q2.
Almansa daripada pasukan LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP akan bermula di petak pertama untuk perlumbaan pusingan ke-13 itu.
Dengan bermula dari barisan kelima, Hakim Danish kini menyasarkan untuk memperbaiki kedudukan dan memburu kelompok 10 terbaik dalam perlumbaan Moto3 esok. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
