KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) giat membuat persiapan akhir bagi penganjuran Southeast Asia Olympiad Championship and Sustainable Tourism Workshop 2026 yang dijadual berlangsung pada 7 hingga 10 September ini.
Pengarah Pusat Asasi STEM UMT mengadakan mesyuarat khas bersama pengurusan Koperasi Homestay TK bagi menyelaras persiapan akhir program membabitkan pelajar kategori Senior High School dari empat negara.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri barisan pengurusan Pusat Asasi STEM serta wakil Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan UMT.
Antara persiapan yang telah diselesaikan termasuk penyediaan soalan English Proficiency Test dan Mathematics Test bagi peserta yang menyertai pertandingan tersebut.
UMT turut akan menyediakan rubrik penilaian bagi setiap acara untuk diberikan kepada peserta yang mengambil bahagian, termasuk peserta dari dalam dan luar negara.
Selain itu, bilik pertandingan serta barisan juri bagi kategori Hafazan, Biology Test, Public Speaking dan Arabic Speech turut telah diatur.
Seramai 50 sukarelawan UMT akan diberikan taklimat bagi memastikan perjalanan program Olympiad dan bengkel berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan.
Mesyuarat khas itu turut menetapkan jumlah medal yang akan dipertandingkan bagi setiap acara.
Penganjuran program berkenaan diharap dapat membantu merealisasikan usaha mempromosikan Kuala Nerus sebagai sebuah Education Village serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pendidikan dan pelancongan lestari. – DETIK MALAYSIA
