ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Star City FC, Mehmet Duraković mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) berada pada tahap berbeza selepas pasukannya dibelasah 7-0 oleh skuad Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Duraković menyifatkan JDT sebagai antara pasukan terbaik di Asia selain memuji perkembangan positif juara Liga Super itu yang semakin kuat dari tahun ke tahun.
“JDT sangat hebat. Tahun demi tahun, JDT semakin kuat dan mereka sememangnya antara pasukan terbaik di Asia,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Bagaimanapun, Duraković berpendapat Star City FC menunjukkan aksi meyakinkan pada peringkat awal perlawanan sebelum kesilapan penjaga gol, Hafizul Hakim pada minit ke-16 mengubah rentak permainan.
Menurutnya, kesilapan tersebut menjadi titik perubahan apabila JDT mula mengambil kesempatan dan menghukum setiap kesilapan yang dilakukan pasukannya.
“Ia menjadi titik perubahan selepas kesilapan dilakukan oleh pasukan kami dan JDT mula menghukum kami,” katanya.
Selepas itu, JDT menguasai permainan serta memanfaatkan peluang yang terhidang untuk menghasilkan kemenangan besar.
Bagi Duraković, keputusan tersebut turut memperlihatkan sejauh mana JDT berkembang sejak beberapa tahun lalu sehingga terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kelab terkemuka di Asia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Playmaker.sg
