ASEAN Piala Futsal B-19 2025: Thailand singkir Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti

NONTHABURI – Perjalanan skuad futsal Bawah 19 Tahun (B-19) negara dalam kempen ASEAN Piala Futsal B-19 2025 berakhir dengan penuh dramatik apabila tewas kepada tuan rumah, Thailand menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir di Gimnasium PAO Nonthaburi, semalam.

Dalam perlawanan mendebarkan itu, Malaysia yang turun selaku pasukan bukan pilihan mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya mengheret juara pilihan kejohanan itu hingga ke penentuan penalti selepas terikat 4-4 dalam masa sebenar dan tambahan masa.

Thailand membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Phakphum Thiamtee, namun kegembiraan tuan rumah hanya bertahan seminit apabila pemain Selangor FC, Fitri Haqim Faizanizam pantas menyamakan kedudukan untuk menghidupkan semula semangat kem negara.

Kedua-dua pasukan terus berbalas serangan, namun kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia tampil lebih berani dan tersusun apabila Aidl Zaquan Mohd. Azman meledak gol pada minit ke-26 sebelum Adam Rayyan Nor Hisam menambah jaringan dua minit kemudian bagi meletakkan skuad negara selesa mendahului 3-1.

Namun, Thailand bangkit memperkemaskan permainan apabila Monthana Jankrajang merapatkan jurang pada minit ke-34 sebelum strategi ‘power play’ tuan rumah membuahkan hasil apabila Phakphum sekali lagi mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-39 untuk mengikat kedudukan 3-3 dan memaksa perlawanan ke masa tambahan.

Dalam tempoh tambahan, Thanakrit Ouansiri menghadiahkan kelebihan kepada Thailand pada minit ke-41, namun jaringan kelima tuan rumah oleh Thanathanakon Deeklang dibatalkan susulan kekasaran, sekali gus memberi nafas baharu kepada Malaysia.

Detik dramatik tercetus apabila Iqbal Hazim Radzi muncul wira negara dengan gol penyamaan pada minit ke-48 untuk menjadikan kedudukan 4-4 selepas 50 minit permainan penuh intensiti.
Penentuan sepakan penalti akhirnya memihak kepada Thailand yang lebih tenang apabila menang 4-2 untuk melangkah ke perlawanan akhir bertemu Indonesia.

Malaysia pula akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Vietnam, sambil membawa pulang banyak pengajaran positif serta bukti potensi besar generasi muda futsal negara. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit- FAM