Foto kredit - Majlis Perbandaran Teluk Intan
BAGAN DATUK – Jika disebut Bagan Datuk, pastinya ramai terbayangkan daerah yang sinonim dengan jolokan ‘Tanah Kelapa’.
Namun, di sebalik identiti tersebut, daerah berkenaan sebenarnya menyimpan pelbagai khazanah alam, sejarah dan tarikan pelancongan yang menarik untuk diterokai.
Antaranya termasuk fenomena Blue Tears yang menyaksikan permukaan air bercahaya pada waktu malam, Sky Mirror yang seolah-olah memantulkan langit serta hamparan bunga matahari yang menjadi lokasi bergambar.
Lebih menarik, Masjid Tuminah Hamidi yang terletak di muara sungai turut dipilih sebagai lokasi pertama bagi memperkenalkan National Mosque Open Day (NMOD) di peringkat kebangsaan.
NMOD akan berlangsung dari 13 hingga 15 Ogos ini di Masjid Tuminah Hamidi dan Dataran Bagan Datuk.
Justeru, pengunjung yang hadir ke NMOD boleh mengambil peluang menambah satu hari dalam itinerari masing-masing untuk meneroka pelbagai lokasi menarik di daerah berkenaan.
Blue Tears bercahaya pada waktu malam
Pernah melihat permukaan laut bercahaya biru pada waktu malam?
Fenomena dikenali sebagai Blue Tears atau ‘air mata biru’ itu merupakan kejadian semula jadi apabila permukaan air bersinar susulan pergerakan ombak, bot, hidupan atau manusia di kawasan berkenaan.
Cahaya tersebut bukan daripada lampu atau bahan kimia, sebaliknya terhasil daripada organisma laut mikroskopik dikenali sebagai dinoflagelat.
Apabila plankton itu terganggu akibat pergerakan air, ia akan memancarkan cahaya melalui proses bioluminesens, sekali gus menghasilkan pemandangan biru yang memukau.
Sky Mirror seolah-olah cermin gergasi
Bagan Datuk juga mempunyai tarikan Sky Mirror yang membolehkan pengunjung menyaksikan pantulan langit di permukaan air seolah-olah berdiri di atas cermin gergasi.
Fenomena tersebut hanya muncul beberapa kali setiap bulan ketika air laut surut sepenuhnya sekitar waktu bulan baharu atau bulan penuh.
30 hingga 50 helang menyambar makanan
Bagi pencinta alam semula jadi, Sungai Burung pula menawarkan pengalaman menyaksikan aksi helang menyambar makanan.
Di Bagan Sungai Burung, pengunjung berpeluang menyaksikan antara 30 hingga 50 ekor helang turun menyambar makanan di muara Selat Melaka pada waktu petang.
Pemandangan itu pastinya menjadi pengalaman menarik dan jarang dapat disaksikan.
Hamparan bunga matahari
Tidak lengkap eksplorasi Bagan Datuk tanpa singgah di taman bunga matahari yang menawarkan hamparan bunga kuning mekar sebagai lokasi bergambar.
Tarikan berkenaan sesuai dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan, selain menawarkan pelbagai sudut menarik untuk dirakam.
Jejak sejarah ‘Tanah Kelapa’
Di sebalik gelaran ‘Tanah Kelapa’, Bagan Datuk suatu ketika dahulu merupakan antara pengeluar kelapa terpenting di dunia.
Kedudukannya sebagai pusat pengeluaran kelapa menjadikan Bagan Datuk sebuah pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan utama yang membekalkan hasil kelapa ke pelbagai negara pada awal abad ke-20.
Kini, warisan tersebut diteruskan menerusi penyelidikan dan pembangunan industri kelapa oleh MARDI.
Terokai agropelancongan koko
Selain kelapa, Bagan Datuk turut menawarkan pengalaman agropelancongan berasaskan koko yang dikendalikan oleh Lembaga Koko Malaysia Bagan Datuk.
Pengunjung boleh mengenali proses penanaman dan penghasilan produk koko, selain menyokong hasil tempatan yang diusahakan komuniti setempat.
Program yang dirangka berkonsepkan Cocoa Agrotourism itu turut menawarkan pakej Cocoa Tour and Education.
NMOD berlangsung 13 hingga 15 Ogos
Sementara itu, pengunjung yang meneroka Bagan Datuk berpeluang mengakhiri kunjungan dengan menghadiri National Mosque Open Day (NMOD) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 13 hingga 15 Ogos 2026 di Masjid Tuminah Hamidi dan Dataran Bagan Datuk.
Program yang julung kali dianjurkan di peringkat kebangsaan itu mengalu-alukan orang ramai daripada pelbagai latar belakang untuk menghayati keindahan seni bina masjid, memahami peranannya sebagai pusat komuniti serta menyertai pelbagai aktiviti menarik.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk pertandingan azan, futsal, demonstrasi khat, memanah, e-sukan dan Mosque Tour.
Turut diadakan ceramah oleh Al Fadhil Ustaz Habib Ali Zaenal Abidin Alhamid dan Al Fadhil Ustaz Habib Najmuddin Othman Alkhered serta persembahan kumpulan qasidah.
Program Mosque Open Day yang diadakan setiap bulan di masjid terpilih memberi peluang kepada orang ramai mengenali Islam dengan lebih dekat menerusi lawatan berpandu, perkongsian ilmu, aktiviti kebudayaan dan program mesra keluarga.
Inisiatif itu turut menjadi sebahagian usaha memperkasakan pelancongan berasaskan masjid sebagai tarikan bermakna dalam penawaran pelancongan mesra Muslim di Malaysia.
Islamic Tourism Centre (ITC), sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, dipertanggungjawabkan untuk membangunkan segmen Pelancongan Islam bagi Malaysia.
ITC memperjuangkan pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH) menerusi penyelidikan dan risikan pasaran, latihan, khidmat rundingan pembangunan industri, piawaian serta pengiktirafan perkhidmatan dan pertukaran maklumat.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web mymuslimtrip.com atau media sosial Islamic Tourism Centre di Facebook dan Instagram. – DETIK MALAYSIA
