MUNICH – Bayern Munich mengesahkan sedang mengadakan perbincangan bersama Harry Kane berhubung lanjutan kontrak baharu, sekali gus menamatkan spekulasi masa depan penyerang sensasi England itu.
Kane yang menyertai Die Roten pada 2023 kini masih terikat kontrak sehingga 2027, namun berpotensi berstatus ejen bebas dua tahun lagi jika tiada persetujuan dicapai.
Sejak tiba di Allianz Arena, kapten England itu tampil luar biasa apabila meledak 119 gol dalam 126 perlawanan di semua kejohanan, selain membantu Bayern menjulang Bundesliga dan Piala Super Jerman musim lalu.
Nama Kane sebelum ini kerap dikaitkan dengan kepulangan ke Liga Perdana Inggeris bagi memecahkan rekod jaringan sepanjang zaman milik Alan Shearer (260 gol). Setakat ini, beliau telah mengumpul 213 gol di EPL.
Namun, prestasi konsisten yang dipamerkan Kane membuatkan Bayern yakin penyerang berusia 32 tahun itu mampu kekal lebih lama di Jerman.
Pengarah sukan Bayern, Max Eberl, mengesahkan rundingan sedang berlangsung.
“Kami sedang berbincang dengan Harry,” katanya kepada Sky Deutschland.
Media antarabangsa melaporkan Bayern bercadang melanjutkan kontrak Kane sehingga 2028 atau 2029.
Pada Disember lalu, Kane mencipta sejarah apabila menjadi pemain terpantas mencatat 100 sumbangan gol Bundesliga, memintas rekod Arjen Robben dengan kelebihan 41 perlawanan.
Musim ini, Kane sudah mengumpul 34 gol daripada 30 aksi, membantu Bayern mendahului Bundesliga dengan kelebihan lapan mata, mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara serta layak ke suku akhir DFB-Pokal.
Prestasi luar biasa itu menjadikan Kane terus tonggak utama dalam misi Bayern memburu lebih banyak kejuaraan musim ini. - DETIK MALAYSIA
Kredit foto - Harry Kane