ALOR SETAR - Kedah FA mencipta kemenangan bermakna selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) II 1-0 dalam aksi minggu ke-18 Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Gol tunggal perlawanan dihasilkan oleh Rahmat Makasuf pada minit ke-17 menerusi rembatan padu yang menewaskan penjaga gol pelawat.
JDT II yang turun dengan reputasi rekod cemerlang hampir membuka jaringan awal menerusi Celso Bermejo, namun ketangkasan barisan pertahanan Kedah FA diketuai Pape Diakite berjaya menggagalkan usaha tersebut.
Skuad Harimau Selatan terus menekan, termasuk beberapa percubaan berbahaya daripada Daryl Sham, namun penjaga gol Kedah FA, Rajendran, tampil cemerlang menafikan setiap ancaman.
Situasi bertambah sukar buat JDT II apabila Danish Syamer dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan selepas mengasari kapten Kedah FA, Pape Diakite.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, JDT II tetap cuba mencari gol penyamaan pada masa kecederaan, namun keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan Kedah FA melonjak ke tangga ketiga liga dengan 35 mata selepas 18 perlawanan, sekali gus memintas Kelantan RW.
Sementara itu, JDT II kekal di kedudukan kedua dengan 36 mata hasil 17 perlawanan, di belakang pendahulu liga Selangor II. -DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Kedah FA