DOMINASI BERTERUSAN UNTUK ANDAK TXV AJFIX DAN RUBBER TIPPER PERTAHAN KEJUARAAN TERENGGANU 4X4 MERDEKA CHALLENGE 2026
KUALA NERUS – Rubber Tipper dan Andak TXV @ AJFIX membuktikan kejuaraan mereka bukan sekadar nasib apabila sekali lagi menamatkan saingan Terengganu 4×4 Merdeka Challenge sebagai juara kategori masing-masing, sekali gus mempertahankan gelaran untuk tahun kedua berturut-turut.
Rubber Tipper terlebih dahulu memastikan dominasi dalam kategori Short Wheel Base (SWB) selepas mengumpul 441 mata daripada lapan Special Stage (SS), meninggalkan 26 pencabar lain dalam kategori berkenaan.
Pasukan dari Merapoh, Pahang itu mengulangi kejayaan edisi lalu menerusi jentera Daihatsu Feroza 1.6 SE yang dikemudi Mohd Fadly Deraman, manakala Mohd Fadil Mat Ayub bertindak sebagai pemandu arah.

Pengurus Rubber Tipper, Noor Ashrol Mohd Noor, berkata mempertahankan kejuaraan kali ini jauh lebih mencabar apabila pasukannya berdepan keadaan perlumbaan yang berbeza serta peningkatan prestasi pencabar.
Katanya, jika hujan menjadi cabaran utama pada edisi tahun lalu, cuaca panas dan berjerebu pula menguji ketahanan jentera serta fizikal pasukan kali ini.
“Tahun lalu kami beraksi dalam keadaan basah sehingga terpaksa membalut karburetor dengan plastik. Kali ini cuaca panas dan berjerebu pula benar-benar menguji kami untuk memastikan setiap peringkat dapat ditamatkan.
“Litar di Kuala Nerus juga memerlukan kami bekerja lebih keras. Saingan semakin kuat dan ada pasukan lain yang berjaya mengutip mata penuh serta mendahului kami pada beberapa SS,” katanya.

Dalam kategori Long Wheel Base (LWB), Andak TXV @ AJFIX turut mengesahkan status mereka sebagai kuasa utama selepas mengumpul 761 mata untuk mempertahankan kejuaraan.
Pasukan dari Selangor itu menurunkan tiga jentera seperti edisi lalu, dengan Jeep Cherokee 2.5L menjadi antara jentera penting yang membantu mereka mengulangi pencapaian tersebut.
Pengurus pasukan, Mohd Foudzi Samat, berkata laluan yang mempunyai karakter berbeza menyebabkan persaingan dalam kategori LWB tidak semudah yang disangka.
“Saingan LWB memang tidak mudah kerana ada bahagian tertentu dalam litar yang lebih memberi kelebihan kepada jentera kategori lain.
“Kami tetap bersyukur kerana berjaya mengutip mata penuh dalam empat SS,” katanya.

Terengganu 4×4 Merdeka Challenge edisi keenam berlangsung selama dua hari bermula 4 September lalu di Bandar Baru Kuala Nerus, dengan 56 jentera berentap dalam tiga kategori menerusi lapan peringkat perlumbaan.
Kejohanan anjuran Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4×4) itu turut mendapat kerjasama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu sebagai rakan teknikal, selain sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Tourism Malaysia, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu. – DETIK MALAYSIA
