KUALA LUMPUR – Penyelesaian bayaran agihan pendapatan berdasarkan merit kepada kelab-kelab Liga Malaysia musim lalu menjadi satu perkembangan positif ketika pasukan-pasukan kini memberi tumpuan saingan musim baharu 2026-2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC (NSFC), Faliq Firdaus berkata pihaknya menyambut baik penerimaan bayaran berkenaan yang telah diterima pada awal September tempoh hari dan menghargai usaha MFL dalam menyelesaikan komitmen tersebut kepada kelab.
Menurutnya, pembayaran yang telah diterima penting dari sudut pengurusan aliran tunai, malah memberi kepastian kepada kelab untuk merancang dan menguruskan operasi dengan lebih teratur.
“Bagi pihak kelab, pembayaran ini sememangnya penting dalam membantu pengurusan aliran tunai serta memenuhi komitmen operasi yang telah dirancang.
“Kami berharap segala urusan MFL dalam menguruskan keperluan kelab pada musim baharu ini berjalan lancar kerana kepastian dari segi kewangan amat penting dalam membantu kelab merancang dan mengurus operasi secara mampan.
“Kita juga memahami sedikit kelewatan agihan ini yang melibatkan pelbagai faktor dan perkara yang perlu diselesaikan oleh pihak MFL. Namun, apa yang kita hargai adalah komunikasi yang baik daripada MFL yang sentiasa memberikan perkembangan dan penjelasan kepada pihak kelab dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Syahrizan Mohd Zain juga berpendapat agihan tersebut turut memberi manfaat dari sudut perancangan kewangan kelab, terutama dalam memastikan keperluan semasa dapat diurus tanpa menjejaskan perancangan yang telah ditetapkan.
“Sudah tentunya, pembayaran ini amat membantu Terengganu FC, khususnya dalam menguruskan komitmen dan perbelanjaan operasi kelab. Setiap sumber pendapatan yang diterima amat penting bagi memastikan perjalanan kelab dapat diuruskan dengan lebih baik dan lancar.
“Kami melihat inisiatif agihan pendapatan seperti ini sebagai satu usaha yang positif dalam membantu kelab-kelab Liga Malaysia mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing. Ia juga memberi ruang kepada kelab untuk terus memberi fokus terhadap pembangunan pasukan serta memastikan persiapan menghadapi saingan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Nada sama turut disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Interim Sabah FC, Syazwan Imran yang menyifatkan agihan berkenaan sebagai satu suntikan penting buat kelab dalam menghadapi tuntutan sepanjang musim bagi terus memperbaiki kedudukan yang lebih baik.
“Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan kepada MFL atas agihan pendapatan secara merit yang telah diterima. Sumbangan ini amat bermakna kerana ia dapat membantu kelab menguruskan komitmen kewangan dengan lebih teratur, khususnya dalam memastikan operasi pasukan dapat berjalan lancar sepanjang musim.
“Kami percaya model agihan berdasarkan merit seperti ini terus mampu memberi galakan kepada kelab untuk meningkatkan prestasi agar kita dapat berusaha untuk meletakkan kelab di kedudukan yang lebih baik pada setiap musim,” jelasnya. – DETIK MALAYSIA
