KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan hanya bunga api jenis Pop-Pop dan Happy Boom dibenarkan dibakar sempena mana-mana perayaan termasuk sambutan Tahun Baharu Cina pada Rabu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun serta bunga api tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Katanya, dua jenis bunga api itu sahaja dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penjualan Pop-Pop dan Happy Boom masih memerlukan permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan serta perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa.
Beliau berkata, individu yang memiliki atau bermain mercun serta bunga api tidak dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
“Masyarakat juga diingatkan supaya tidak bermain mercun dan bunga api melebihi pukul 12 tengah malam kerana boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada orang awam.
“Jika ingkar, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 366) serta Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang demi memastikan sambutan perayaan berlangsung aman dan selamat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI